Operasi Selamat Mangsa Culik: 2 Warga Asing Maut Ditembak

8 Aug 2026 • 1:29 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Operasi Selamat Mangsa Culik: 2 Warga Asing Maut Ditembak

KUALA LUMPUR - Dua lelaki dipercayai warga asing maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis ketika operasi menyelamatkan dua mangsa culik di sebuah rumah di Taman Amira, Telaga Bata, Alor Setar, malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 malam ketika suspek melepaskan tembakan ke arah sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Khas D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang menyerbu rumah berkenaan.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, anggota polis kemudiannya membalas tembakan bagi mempertahankan diri sehingga ancaman berjaya dilumpuhkan.

“Dua suspek warga asing itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan kira-kira jam 9.30 malam.

“Tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada kedua-dua suspek,” katanya hari ini.

Dalam operasi sama, polis berjaya menyelamatkan dua mangsa culik iaitu seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 70-an dan seorang wanita warga asing berusia 30-an.

Kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan mata ditutup dan tangan mereka digari.

Polis turut menemukan dua pucuk senjata api berhampiran suspek, masing-masing sepucuk pistol separa automatik jenis Beretta yang mengandungi lima butir peluru serta sepucuk revolver dengan empat butir peluru.

“Sebilah parang panjang turut ditemukan berhampiran suspek,” katanya.

Menurut Kumar, beberapa serbuan susulan kemudian dijalankan di beberapa lokasi dan membawa kepada penahanan enam individu di Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Mereka terdiri daripada seorang lelaki tempatan, empat lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing berusia antara 20 hingga 40-an.

“Permohonan reman terhadap kesemua suspek dibuat hari ini mengikut Seksyen 12 Akta Culik 1961,” katanya.

Kumar berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 kerana kesalahan menculik bagi mendapatkan wang tebusan.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh menjejaskan siasatan, selain mengelak daripada memanipulasi fakta sehingga menimbulkan kebimbangan awam.

Polis dijangka mengadakan sidang media pada Isnin ini bagi memberikan maklumat lanjut berhubung kejadian berkenaan. - Getaran, 8 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved