Mangsa kebakaran Numbak terima bantuan RM3,000 – Hajiji

31 Aug 2026 • 6:58 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Mangsa kebakaran Numbak terima bantuan RM3,000 – Hajiji

KOTA KINABALU: Setiap ketua isi rumah (KIR) mangsa kebakaran di Kampung Numbak, di sini menerima bantuan keseluruhan RM3,000 bagi meringankan beban selepas kehilangan kediaman masing-masing.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bantuan itu disumbangkan menerusi tiga pihak iaitu RM1,000 daripada kerajaan negeri, RM1,000 kerajaan Persekutuan dan RM1,000 lagi daripada Yayasan Kebajikan Sabah.

“Alhamdulillah, saya dapat melawat dan berjumpa dengan mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Numbak.

“Oleh itu, saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan memberi bantuan sebanyak RM3,000 kepada setiap KIR bagi meringankan beban mereka,” katanya selepas meninjau keadaan mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Likas, di sini hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut membantu mangsa membina semula kediaman mereka yang musnah dalam kebakaran itu.

Katanya, urusan pembinaan akan diselaraskan Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA), manakala lokasi sama ada di kawasan baharu atau tapak asal akan ditentukan berdasarkan kesesuaian.

Selain itu, kerajaan negeri atas dasar kemanusiaan turut menyediakan bantuan RM1,000 kepada setiap KIR bukan warganegara Malaysia yang terjejas dalam kejadian itu.

Katanya, bantuan asas termasuk bekalan makanan dan peralatan rumah turut disediakan bagi memastikan keperluan mangsa sepanjang berada di PPS mencukupi.

“Keutamaan kita adalah untuk memastikan keperluan asas mereka dipenuhi,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan lazimnya turut menyediakan peranti atau perkakas rumah kepada mangsa selepas kediaman yang musnah dibina semula.

Katanya, pendekatan sama pernah dilaksanakan dalam kejadian kebakaran di Kudat baru-baru ini apabila kerajaan menyalurkan RM20,000 kepada setiap KIR terjejas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 pagi itu, sebanyak 202 rumah musnah, manakala tiga kanak-kanak maut.

Mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Asrul Abdullah, 6, Nana Abdullah, 4, dan Nur Farah Bilah Mohd Tajah, 8, yang kesemuanya merupakan warganegara Malaysia.

Kebakaran membabitkan penempatan rumah setinggan atas air termasuk Kampung Lok Buta, Kampung Lok Poring dan Kampung Sabang Lama, dengan kawasan terjejas dianggarkan seluas 260 meter x 380 meter. – UTUSAN

The post Mangsa kebakaran Numbak terima bantuan RM3,000 – Hajiji appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved