200 Rumah Atas Air Terbakar, 3 Kanak-Kanak Ditemui Rentung

30 Aug 2026 • 11:43 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

200 Rumah Atas Air Terbakar, 3 Kanak-Kanak Ditemui Rentung

KOTA KINABALU - Tiga kanak-kanak yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas kebakaran besar memusnahkan kira-kira 200 rumah di sebuah penempatan atas air di Kampung Numbak awal pagi ini, ditemui rentung oleh pasukan bomba.

Mangsa ketiga ditemukan pada jam 7.46 pagi, tidak jauh dari lokasi dua mangsa pertama ditemui, masing-masing pada jam 6.40 dan 7.20 pagi ketika operasi pemadaman serta mencari dan menyelamat dijalankan.

Ketiga-tiga mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Hasrul Abd, 4; Ana Abd, 6; dan Norfadilah Mohd Thajia, 8.

Mereka dipercayai terdiri daripada dua beradik dan sepupu yang dilaporkan hilang selepas kebakaran melibatkan tiga perkampungan atas air iaitu Kampung Lok Buta, Kampung Lok Poring dan Kampung Sabang Lama.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Mohd Hannis Moktar, mengesahkan penemuan mangsa ketiga ketika dihubungi.

Menurutnya, mangsa ditemukan ketika anggota bomba meneruskan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa ketiga ditemui tidak jauh dari lokasi dua mangsa yang ditemukan lebih awal,” katanya.

Kebakaran dipercayai bermula kira-kira jam 1.30 pagi dan memusnahkan sekitar 200 rumah tidak kekal yang dibina di atas air, membabitkan kawasan seluas kira-kira 79 meter x 116 meter.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz, berkata seramai 41 anggota bomba dari empat balai dikerahkan ke lokasi bagi mengawal kebakaran.

Beliau berkata, pasukan yang terlibat terdiri daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Tuaran.

“Kebakaran membabitkan penempatan rumah tidak kekal yang dibina di atas air dan meliputi tiga perkampungan iaitu Kampung Lok Buta, Kampung Lok Poring serta Kampung Sabang Lama.

“Anggaran awal mendapati kira-kira 200 rumah terjejas dalam kebakaran itu. Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran air dengan sumber air diperoleh daripada jentera bomba dan sumber terbuka iaitu laut,” katanya dalam satu kenyataan.

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6.26 pagi.

Punca kebakaran serta jumlah keseluruhan kerugian masih dalam siasatan. - Getaran, 30 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved