Mangsa kedua insiden dirempuh kereta guru cedera pada bahagian kepala, muka

LocalFamily & Parenting
13 Apr 2026 • 2:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mangsa kedua insiden dirempuh kereta guru cedera pada bahagian kepala, muka
Zara Aftar yang mengalami kecederaan pada kepala dan muka kini sedang menerima rawatan di HRPZ II di Kota Bharu.

KOTA BHARU – Mangsa kedua insiden dirempuh kereta yang dipercayai dipandu seorang guru di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini pada Ahad mengalami kecederaan bahagian kepala dan muka.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, mangsa, Zara Aftar Zamzuri, 13, kini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Menurut beliau, hasil penilaian awal mendapati Pelajar Tingkatan Satu terbabit mengalami beberapa kecederaan, namun berada dalam keadaan sedar dan stabil.

"Pesakit kini dirawat di HRPZ II dengan bacaan tanda vital yang memuaskan dan berada dalam pemantauan rapi pihak hospital," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau memberitahu, pihaknya memberi jaminan bahawa pelajar terbabit akan terus menerima rawatan terbaik sehingga pulih sepenuhnya tanpa sebarang komplikasi.

Dalam pada itu, Dr Mohd Azman turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan memandangkan kes masih dalam siasatan pihak polis.

"Orang ramai juga diseru untuk bersama-sama mendoakan kesejahteraan mangsa," katanya.