Mansuh AUKU: KPT sedia perundangan baharu ‘One Higher Education Act’

LocalPolitics
15 Aug 2026 • 4:07 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Mansuh AUKU: KPT sedia perundangan baharu ‘One Higher Education Act’

KUALA LUMPUR - Kerangka perundangan pendidikan tinggi negara yang lebih komprehensif bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) telah pun digariskan di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada agenda pembentukan One Higher Education Act yang dilancarkan kementeriannya pada Januari lalu.

Beliau menyambut baik komitmen kerajaan untuk memansuhkan undang-undang penubuhan universiti itu susulan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka, hari ini.

“Saya mengambil maklum pengumuman Perdana Menteri berhubung kenyataan beliau untuk memansuhkan AUKU ketika ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perlu akta induk pengganti

Zambry menjelaskan bahawa AUKU bukan sekadar undang-undang yang mengawal selia hal ehwal mahupun kebebasan mahasiswa, sebaliknya merupakan akta induk yang menunjangi penubuhan, pentadbiran, dan tadbir urus universiti serta kolej universiti di seluruh negara.

Justeru, tindakan memansuhkannya perlu disusuli dengan persediaan undang-undang pengganti yang lebih mantap dan bersifat jangka panjang.

“Oleh itu, pemansuhannya perlu disusuli suatu kerangka perundangan baharu yang lebih menyeluruh, progresif dan sesuai dengan keperluan pendidikan tinggi masa kini serta masa hadapan,” tegasnya.

Libat urus inklusif semua pihak

Bagi memastikan undang-undang baharu itu merangkumi pelbagai aspek, KPT akan melaksanakan proses gubahan secara inklusif dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan.

Ini merangkumi pengurusan universiti, ahli akademik, institusi awam dan swasta, pemain industri, penyedia TVET, politeknik, kolej komuniti, pakar perundangan, serta persatuan mahasiswa.

“Matlamat usaha itu bukan sekadar memansuhkan sebuah akta, tetapi membina kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih komprehensif dan berdaya hadapan, bagi memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik dan suara mahasiswa, di samping memastikan tadbir urus, akauntabiliti serta kecemerlangan IPT terus terpelihara,” kata Zambry.

Langkah ini merupakan bahagian penting daripada transformasi sistem pendidikan tinggi negara menerusi RPTM 2026-2035 bagi memastikan sektor pengajian tinggi tempatan kekal relevan dan berdaya saing di peringkat global.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan keputusan memansuhkan AUKU demi memberikan ruang demokrasi dan kebebasan yang lebih meluas kepada gerakan mahasiswa selepas mempertimbangkan memorandum serta pandangan yang dikemukakan oleh kepimpinan penuntut universiti. - 15 Ogos, 2026

The post Mansuh AUKU: KPT sedia perundangan baharu ‘One Higher Education Act’ appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved