Segmen pembangunan hartanah pacu pertumbuhan Fiamma dengan hasil naik 77.8% pada 1HFY26

24 Aug 2026 • 4:14 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Segmen pembangunan hartanah pacu pertumbuhan Fiamma dengan hasil naik 77.8% pada 1HFY26 Image from: Segmen pembangunan hartanah pacu pertumbuhan Fiamma dengan hasil naik 77.8% pada 1HFY26 liza24/08/2026 - 16:14 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Fiamma Holdings Berhad mencatat hasil RM117.2 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY2026), meningkat 41.5% berbanding RM82.8 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan hasil itu turut disusuli pertumbuhan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 18.2% tahun ke tahun kepada RM19.8 juta daripada RM16.8 juta pada 2QFY2025.

 

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) pula meningkat 15.9% kepada RM16.2 juta, berbanding RM14 juta sebelumnya, manakala pendapatan sesaham asas meningkat kepada 3.05 sen daripada 2.63 sen.

 

Keuntungan kasar kumpulan turut meningkat 38.3% kepada RM35.2 juta pada suku berkenaan, mencerminkan pertumbuhan yang lebih kukuh dalam operasi perniagaannya.

 

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (1HFY2026), hasil kumpulan meningkat 22.2% kepada RM221.61 juta dengan ketiga-tiga segmen operasi Fiamma merekodkan pertumbuhan.

 

Prestasi Operasi Terus Mengukuh

Walaupun PBT bagi 1HFY2026 dilaporkan pada RM33.2 juta berbanding RM57.9 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, Fiamma berkata perbezaan itu sebahagian besarnya disebabkan kesan asas daripada keuntungan tidak berulang yang lebih tinggi pada 1HFY2025.

 

Selepas mengambil kira item sekali sahaja bagi kedua-dua tempoh, PBT dinormalkan bagi 1HFY2026 sebenarnya meningkat 9.7% kepada RM29.3 juta, menunjukkan prestasi operasi asas kumpulan terus berkembang.

 

Segmen Dagangan dan Perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama hasil Fiamma dengan mencatat RM175.2 juta bagi 1HFY2026, meningkat 13.5% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Segmen itu menyumbang kira-kira 79.1% daripada jumlah hasil kumpulan, manakala hasil bagi 2QFY2026 meningkat 15.5% tahun ke tahun kepada RM88.2 juta.

 

Pertumbuhan tersebut disokong permintaan terhadap portfolio produk rumah, gaya hidup dan penjagaan kesihatan, selain pengembangan Fiamma dalam kategori pertumbuhan lebih tinggi.

 

Pembangunan Hartanah Pacu Pertumbuhan

Antara kategori yang terus diperluaskan kumpulan termasuk peralatan pintar dan cekap tenaga, perkhidmatan pembersihan, penghawa dingin serta peranti penjagaan kesihatan.

 

Pada masa sama, segmen Pembangunan Hartanah mencatat pertumbuhan lebih ketara apabila hasil meningkat 77.8% kepada RM43.7 juta bagi tempoh enam bulan tersebut.

 

Peningkatan itu didorong pengiktirafan hasil yang lebih tinggi daripada projek pembangunan bercampur Fiamma di Johor Bahru, susulan kemajuan projek berkenaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fiamma, Jimmy Tan Chee Wee, berkata prestasi suku kedua menunjukkan momentum yang semakin baik merentasi perniagaan kumpulan, dengan segmen Dagangan dan Perkhidmatan terus menyediakan asas operasi yang stabil.

 

Beliau berkata Fiamma akan terus memberi tumpuan kepada pertumbuhan mampan berbanding mengejar keuntungan jangka pendek, selain memperkukuh perniagaan yang lebih bersepadu bagi mewujudkan nilai kepada pelanggan, rakan niaga dan pemegang saham untuk jangka panjang.

 

Menurutnya, keutamaan itu selari dengan strategi kumpulan untuk memperkukuh perniagaan operasi, meningkatkan pelaksanaan serta membina asas pendapatan yang lebih berdaya tahan dalam tempoh jangka panjang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved