
Terdapat sesetengah pihak yang mendakwa bahawa perempuan yang sudah tua tidak perlu memakai tudung yang menutupi rambut dan kepalanya. Adakah benar dakwaan ini?
Jawapan: Aurat adalah anggota badan yang tidak boleh dinampakkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain.
Wanita Muslimah diwajibkan untuk menutup aurat mereka seperti yang telah disepakati oleh para ulama berdasarkan dalil-dalil daripada al-Quran dan sunah, antaranya ialah: “Dan hendaklah mereka menutupkan kain yang dipakai untuk menutup kepala (tudung) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak suruhan yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.” (Surah an-Nur: 31)
Sebelum menjawab persoalan ini, kita harus meneliti beberapa istilah pakaian wanita dari segi bahasa dan syarak agar kita lebih memahami maksud sebenar di sebalik ayat al-Quran yang diturunkan mengenai masalah ini.
Al-Khimar: Imam Ibnu Kathir Rahimahullah mengatakan bahawa al-khimar bermaksud apa-apa yang dipakai untuk menutup kepala.
Ia membawa makna yang sama sepertimana takrifan al-khimar dari sudut bahasa, iaitu kain dipakai oleh wanita untuk menutupi kepalanya. Dalam masyarakat kita, al-Khimar dikenali sebagai tudung, yang dipakai oleh para wanita untuk menutup rambut dan kepala mereka tanpa mengira apa jua jenisnya.
Al-jilbab dari segi bahasa bermaksud baju dan pakaian lebar yang dipakai oleh wanita yang terdapat di bawahnya kain atau apa-apa yang dipakai untuk menutupi pakaiannya dari atas.
Asas kepada perbincangan dalam masalah ini adalah berdasarkan firman Allah SWT: “Dan mana-mana wanita tua yang duduk (terhenti dari datangnya haid dan tidak lagi mengandung) yang tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin (lagi), maka tidak ada dosa bagi mereka untuk menanggalkan pakaian mereka, dengan tidak bertujuan untuk mendedahkan perhiasan mereka; dan perbuatan mereka dengan menjaga kehormatan (dengan tidak menanggalkan pakaian luar mereka) adalah lebih baik bagi mereka; dan Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nur: 60)
Perkataan al-qawa’id atau al-qa’id membawa maksud orang yang duduk. Ibn Qutaibah Rahimahullah telah berkata: “Dinamakan wanita yang sudah tua sebagai orang yang duduk adalah kerana mereka banyak duduk di rumah pada usia tersebut.”
Para ulama berbeza pendapat mengenai makna sebenar al-qawa’id dalam ayat ke-60 surah an-Nur kepada tiga pendapat.
Pertama, wanita tua yang sudah tidak mampu melakukan banyak perkara kerana umurnya yang telah lanjut serta sudah terhenti haid dan tidak mampu untuk mengandung lagi.
Ini adalah pendapat sebahagian besar ahli ilmu termasuklah Sa’id bin Jubair, Qatadah dan ad-Dhahhak.
Kedua, wanita tua yang tidak menyebabkan orang berminat kepadanya jika melihatnya disebabkan umurnya yang telah berusia.
Jika wanita tersebut masih mempunyai kecantikan yang boleh menaikkan syahwat bagi sesiapa yang melihatnya, maka dia tidak termasuk dalam makna ayat ini.
Ketiga, wanita tua yang sudah tidak mampu untuk mengandung lagi.
Imam al-Qurtubi Rahimahullah telah melemahkan pendapat yang ketiga kerana wanita yang sudah tidak mampu mengandung masih lagi berkemungkinan bagi lelaki untuk bersenang-senang dengannya, berbeza dengan wanita tua yang sudah tidak mampu melakukan banyak perkara dan tidak ada keinginan terhadapnya jika melihatnya.
Oleh itu, wanita tua yang dimaksudkan dalam ayat di atas adalah merujuk kepada wanita yang sudah tidak mampu melakukan banyak perkara kerana umurnya yang telah lanjut, sudah terhenti haid dan tidak mampu untuk mengandung lagi, serta tiada lagi keinginan terhadapnya jika melihatnya.
Kesimpulannya, kami berpandangan bahawa pendapat yang kuat dan tepat dalam masalah ini adalah wajib ke atas wanita yang sudah berusia untuk memakai tudung menutupi rambut dan kepalanya seperti wanita-wanita lain.
Imam an-Nawawi Rahimahullah telah berkata: “Adapun aurat perempuan tua, Imam al-Ghazali menyamakan hukumnya dengan perempuan muda. Ini kerana nafsu syahwat adalah suatu perkara yang tidak dapat ditentukan dan perempuan tua masih lagi boleh dijadikan tempat untuk bersenang-senang dengannya.
Telah berkata al-Qadi ar-Rauyani: “Jika mencapai usia yang selamat daripada fitnah dengan melihat kepadanya, harus untuk melihat wajahnya dan dua tapak tangannya berdasarkan firman Allah dalam surah an-Nur ayat yang ke-60.
Mengenai ayat ke-60 dalam surah an-Nur, tafsiran yang tepat mengikut pendapat majoriti ulama adalah ditujukan kepada wanita tua yang sudah tidak mampu melakukan banyak perkara kerana umurnya telah lanjut, sudah terhenti haid dan tidak mampu untuk mengandung lagi, serta tiada lagi keinginan terhadapnya jika melihatnya.
Adapun pakaian yang dibenarkan untuk ditanggalkan oleh wanita tua yang memenuhi kriteria-kriteria di atas adalah al-jilbab (pakaian luar yang dipakai oleh wanita di atas tudung dan pakaian lain), bukannya al-khimar (tudung yang dipakai untuk menutup rambut dan kepala) seperti dakwaan sesetengah pihak.
The post Hukum wanita tua tidak pakai tudung appeared first on Kosmo Digital.






![“Tolong Ikut Rules Malaysia Bila Ada Dekat Sini” – Dua Minah Saleh Cop Parking Undang Perhatian [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/09/cop-parking-KLCC-1024x576.jpg?t=1788492749)