Marine & General catat peningkatan untung bersih kepada RM16.6 juta pada 1QFY26

25/09/2025 - 17:31
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 25 Sept - Marine & General Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih kepada RM16.6 juta pada suku pertama berakhir 31 Julai 2025 (1QFY26) berbanding RM12.9 juta pada tahun sebelumnya didorong kadar penggunaan kapal lebih tinggi.
Katanya, ia juga didorong peningkatan kadar sewaan bagi kapal sokongan luar pesisir (OSV) sejajar dengan aktiviti penggerudian minyak yang berterusan dan pemulihan ekonomi serantau.
Hasil kumpulan juga naik kepada RM99.4 juta berbanding RM91.2 juta pada 1QFY25.
"Segmen huluan kekal sebagai penyumbang utama hasil kumpulan, merangkumi 86% daripada jumlah hasil keseluruhan manakala segmen hiliran menyumbang baki 14%.
"Segmen huluan mencatatkan hasil sebanyak RM85.5 juta, iaitu peningkatan 21.4% berbanding RM70.4 juta pada suku tahun yang sama sebelumnya.
"Peningkatan ini didorong kadar penggunaan kapal lebih tinggi pada 82%, dengan kapal AHTS 60M kebanyakannya diperoleh di bawah kontrak POV PETRONAS," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu menjangkakan tahap operasi segmen hiliran berada pada tahap stabil disokong permintaan berterusan terhadap kapal tangki berdaftar di Malaysia.
Katanya, rasionalisasi armada meletakkan segmen itu pada kedudukan yang lebih kukuh untuk menjana keuntungan berterusan, dengan peluang pengoptimuman selanjutnya akan dinilai selaras dengan keadaan pasaran.
"Selain itu, lembaga pengarah kumpulan menjangkakan segmen perkhidmatan kejuruteraan melalui M&G WHS Engineering Sdn Bhd akan memulakan operasi dalam tahun kewangan semasa.
"Kumpulan juga kekal berhati-hati terhadap cabaran luaran termasuk ketidakpastian ekonomi global dan risiko geopolitik selain terus memberi fokus kepada kecekapan operasi dan pengoptimuman armada bagi mengekalkan daya tahan serta prestasi pendapatan yang stabil," katanya. - DagangNews.com
standard
