MN Holdings berpotensi terima manfaat daripada peningkatan permintaan tenaga negara, kata HLIB

24/09/2025 - 16:54
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 24 Sept - Penyedia rumusan industri pembinaan infrastruktur utiliti, MN Holdings Berhad berpotensi menerima manfaat daripada peningkatan permintaan tenaga negara berikutan pendedahannya dalam sektor berpotensi tinggi seperti solar dan pusat data.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, kumpulan itu juga bakal meraih kelebihan daripada kitaran perbelanjaan modal Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Selepas menampilkan prestasi cemerlang pada suku keempat berakhir 30 Jun 2025 (4QFY25), pihak pengurusan menjangkakan dua suku berikutnya akan memberikan keputusan setanding atau lebih baik, didorong hasil lebih kukuh daripada kontrak pusat data.
"Kami juga melihat barisan projek yang banyak merangkumi pusat data, solar dan TNB bersama gelombang baharu projek infrastruktur tenaga dijangka memberi dorongan tambahan," katanya dalam satu nota kajian.
HLIB Research berkata, pihak pengurusan menyasarkan tiga hingga empat kemenangan di bawah program Solar Skala Besar 5 (LSS5), setiap satu bernilai antara RM30 juta hingga RM40 juta.
Katanya, penempatan saham persendirian yang baru selesai juga mengukuhkan keupayaan kumpulan untuk membiayai projek tersebut, dengan 30% hingga 40% daripada hasil diperuntukkan untuk modal kerja masa depan.
Secara keseluruhan, HLIB mengekalkan saranan “beli” terhadap kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM1.93 sesaham.
Firma penyelidikan itu berkata, selepas mengemukakan tender untuk empat projek berkaitan LSS5, kumpulan itu menjangkakan enam lagi tender akan dibuka tidak lama lagi.
“Pihak pengurusan percaya harga untuk pusingan kali ini akan lebih baik, disokong kos panel solar yang lebih rendah diperoleh di bawah LSS5 serta ketiadaan tekanan kenaikan kos yang dialami semasa LSS4.
“Melihat ke hadapan, projek LSS5+ yang baru dianugerahkan juga menunjukkan potensi tambahan bagi kerja-kerja infrastruktur tenaga yang dijangka akan diberikan sebaik sahaja pemilik aset melengkapkan penutupan kewangan dan melantik kontraktor dalam tempoh enam hingga tujuh bulan akan datang,” jelasnya.- DagangNews.com
standard
