Pengembangan operasi, RHB Research anggar Farm Price catat pertumbuhan positif pada 2026

LocalBusiness & Finance
25 Sep 2025 • 10:53 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengembangan operasi, RHB Research anggar Farm Price catat pertumbuhan positif pada 2026

image is not available

25/09/2025 - 10:53

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Sept - Farm Price Holdings Berhad dianggar mencatatkan pertumbuhan positif serta potensi penilaian semula apabila rancangan pengembangan kapasitinya mula beroperasi pada 2026, selepas beberapa tahun beroperasi pada kadar penggunaan maksimum.

RHB Research berkata, dasar kerajaan yang menyokong usaha meningkatkan keselamatan makanan dan daya ketahanan rantaian bekalan akan menjadi pemacu struktur utama, ditambah dengan peningkatan penembusan pasaran kumpulan di Singapura.

Firma penyelidikan itu merujuk kepada Dasar Agromakanan Negara (NAP) 2.0, yang menggariskan langkah-langkah penting untuk meningkatkan tahap sara diri, memodenkan rantaian bekalan makanan, serta memperkukuh ketahanan bekalan serantau.

“Fokus Farm Price dalam pengedaran hasil segar berada pada posisi tepat untuk mendapat manfaat daripada inisiatif ini, termasuk akses kepada insentif dasar, permintaan stabil, serta pengukuhan penembusan pasaran serantau.

"Ia disokong oleh kapasiti logistik dan rantaian sejuk yang dipertingkatkan, selain jualan rentas sempadan ke Singapura,” katanya dalam satu nota kajian.

Farm Price menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan jualan dari Singapura kepada 50% berbanding 28% pada masa ini, dipacu pertumbuhan pegangan pasaran serta kebergantungan negara itu terhadap hasil segar import.

Firma penyelidikan itu berkata, syarikat itu lebih menyerlah berbanding pesaing tempatan kerana kos asas yang lebih rendah, membolehkan ia menjual produk pada harga antara 10% hingga 15% lebih rendah daripada kadar pasaran, manakala fasiliti di sempadan Johor memberikan kelebihan penghantaran yang lebih pantas.

Ia menjangkakan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) pendapatan tiga tahun sebanyak 14.7% bagi Farm Price, disokong peningkatan pegangan pasaran serta daya operasi daripada pengembangan kapasiti.

RHB Research menetapkan harga sasaran 47 sen berdasarkan penilaian aliran tunai terdiskaun (DCF), dengan mengambil kira potongan 2% bagi faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Penilaian ini meletakkan saham pada 15.7 kali unjuran keuntungan tahun 2026, sedikit premium berbanding syarikat pengguna berkapitalisasi kecil lain di bawah liputan RHB Research.

"Premium ini wajar memandangkan portfolio produk asas Farm Price yang mendapat manfaat daripada permintaan berdaya tahan serta sumbangan perkhidmatan nilai tambah yang semakin meningkat, walaupun margin masih sebahagiannya terdedah kepada turun naik harga hasil segar,” katanya.- DagangNews.com

standard