
PETALING JAYA – Marine & General Berhad (Marine & General) mencatat hasil sebanyak RM344.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2026, manakala untung kasar meningkat sebanyak 7.5 peratus kepada RM96.5 juta dengan margin untung kasar mengukuh kepada 28 peratus, berbanding 25 peratus pada TK2025.
Dalam tempoh kewangan itu juga, Kumpulan mencatat keuntungan sebelum cukai adalah sebanyak RM50.7 juta dan keuntungan selepas cukai mencatatkan RM36.1 juta.
Keputusan ini mencerminkan tumpuan berterusan Kumpulan terhadap disiplin dan kecekapan operasi di tengah-tengah persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah.
Peningkatan untung kasar Kumpulan didorong oleh pengurangan 5.6 peratus dalam perbelanjaan langsung kepada RM247.6 juta.
Walaupun keuntungan sebelum cukai adalah RM50.7 juta berbanding RM52.3 juta pada TK2025, tetapi Kumpulan mencapai kemajuan operasi sepanjang tahun tersebut, dengan kadar penggunaan kapal meningkat dalam kedua-dua Bahagian Hulu dan Hilir, masing-masing kepada 71 peratus dan 84 peratus.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sepanjang tahun kewangan yang ditinjau, bahagian hulu mencatatkan kadar penggunaan kapal sebanyak 71 peratus berbanding 70 peratus tahun sebelumnya.
Ini disumbangkan oleh beberapa kontrak Kapal Operasi Pengeluaran (POV) Petronas berbilang tahun, yang menyebabkan Kapal Tunda Penunda Pengendalian Sauh (AHTS) 60M beroperasi pada kadar penggunaan hampir 100 peratus.
“Sesetengah kapal AHTS 70M yang melayani aktiviti penggerudian terjejas oleh musim tengkujuh, di mana kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan, termasuk penggalangan kapal (docking), telah dijalankan.
“Kadar sewaan harian untuk kapal sokongan luar pantai terus mengukuh, didorong oleh pemulihan aktiviti penerokaan serta penggerudian minyak dan gas serantau dan bekalan kapal yang terhad,” katanya dalam kenyataan.
Bahagian ini terus memelbagaikan operasinya dengan menyediakan perkhidmatan pengurusan komersial dan teknikal untuk kapal pihak ketiga.
Penawaran perkhidmatan ini menyokong pemilik kapal, terutamanya mereka yang mempunyai armada kecil, dengan menyediakan penyelesaian pengurusan armada yang komprehensif tanpa perlu menubuhkan dan mengekalkan pasukan pengurusan kapal khusus.
Selain bagi segmen hilir pula, Marine & General mencatatkan kadar penggunaan kapal tangki sebanyak 84 peratus, berbanding 83 peratus pada tahun kewangan sebelumnya.
“Kebolehpercayaan armada yang ditambah baik menyokong kadar penggunaan yang lebih tinggi, dengan semua kapal tangki kekal beroperasi sepenuhnya tanpa sebarang kerosakan mekanikal yang ketara atau berpanjangan.
“Sehingga akhir TK2026, Bahagian ini mengendalikan empat kapal tangki bahan kimia dan satu kapal tangki Produk Petroleum Bersih (CPP), menjadikan jumlah armada beroperasinya sebanyak lima buah kapal, semuanya dikendalikan di bawah kontrak sewaan masa,” ujarnya.
Mengulas mengenai prospek, Kumpulan optimis secara berhati-hati bagi segmen hulu, didorong oleh kontrak jangka panjang untuk kapal AHTS 60M dan jangkaan peningkatan berperingkat dalam aktiviti penerokaan dan pembangunan di Malaysia dari tahun 2026 hingga 2028.
Purata usia armada kapal sokongan luar pantai (OSV) serantau yang semakin meningkat, susulan pelaburan terhad dalam kapal baharu semasa kemerosotan berpanjangan sektor perkhidmatan luar pantai, turut dijangka menyokong keseimbangan pasaran yang relatif stabil.
Bagi bahagian hilir pula, pasaran kapal tangki Malaysia dijangka kekal stabil dalam jangka pendek, didorong oleh aktiviti hiliran yang konsisten dan pengedaran produk terproses.
Tumpuan adalah untuk meningkatkan kadar penggunaan armada dan kecekapan operasi sambil kekal berwaspada terhadap tekanan kos dan keperluan penyahkarbonan.
“Secara keseluruhan, Kumpulan mengekalkan prospek berkecuali bagi tahun kewangan akan datang.
“Ini mencerminkan sokongan daripada kontrak jangka panjang bagi kapal AHTS 60M dan jangkaan peningkatan berperingkat dalam aktiviti penerokaan dan pembangunan di Malaysia, yang diimbangi dengan keadaan pasaran semasa, ketidaktentuan ekonomi global, serta risiko geopolitik.
“Kumpulan akan terus menguruskan operasi dan sumber modalnya secara berhati-hati, dengan keputusan operasi berpandukan perkembangan pasaran dan keadaan ekonomi,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE
The post Marine & General mahu tingkatkan kadar penggunaan armada, kecekapan operasi appeared first on Kosmo Online.






