johardy20/10/2026 - 10:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Okt - Keuntungan bersih Media Prima Berhad merosot 25% kepada RM15.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 berbanding RM20.7 juta pada tahun sebelumnya, ketika segmen penyiaran dan pengiklanan bersepadu kumpulan itu masing-masing bertukar daripada keuntungan kepada kerugian.
Menurut Laporan Tahunan 2026 Media Prima yang difailkan di Bursa Malaysia hari ini, pendapatan keseluruhan kumpulan turut menyusut hampir 9% kepada RM780.2 juta berbanding RM857 juta pada tahun kewangan 2025, iaitu pengurangan sebanyak RM76.8 juta.
Keuntungan sebelum cukai kumpulan pula berkurangan 31% kepada RM24.5 juta berbanding RM35.6 juta pada tahun sebelumnya.
Segmen penyiaran Media Prima mencatatkan kerugian selepas cukai RM11.3 juta berbanding keuntungan RM13.8 juta pada tahun kewangan 2025, menunjukkan perubahan prestasi sebanyak RM25.1 juta dalam tempoh setahun.
Pendapatan segmen penyiaran menyusut 17% kepada RM314.7 juta berbanding RM379.1 juta sebelumnya, manakala keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berkurangan 52% kepada RM20.7 juta daripada RM43 juta.
Daripada pendapatan segmen penyiaran sebanyak RM314.7 juta itu, RM284.8 juta merupakan pendapatan antara segmen manakala RM29.9 juta diperoleh daripada pelanggan luar.
Perniagaan akhbar masih menguntungkan
Berbeza dengan segmen penyiaran yang mengalami kerugian, perniagaan media cetak Media Prima mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai sebanyak 41.6% kepada RM13.5 juta berbanding RM9.5 juta pada tahun sebelumnya, walaupun pendapatannya menyusut 5.6% kepada RM113.3 juta.
Segmen media cetak yang merangkumi aktiviti percetakan, penerbitan, pengedaran dan penjualan akhbar itu mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak RM3.96 juta berbanding tahun kewangan 2025.
Segmen media digital turut meningkatkan keuntungan selepas cukai kepada RM11.9 juta berbanding RM6.6 juta pada tahun kewangan 2025, meskipun pendapatannya menyusut kepada RM97.8 juta daripada RM101.3 juta.
Sementara itu, segmen penyelesaian pengiklanan bersepadu Omnia merekodkan kerugian selepas cukai RM1.2 juta berbanding keuntungan RM5.4 juta pada tahun sebelumnya.
Pendapatan Omnia merosot 11.1% kepada RM595.5 juta daripada RM670 juta, manakala EBITDA bertukar kepada negatif RM3.4 juta berbanding positif RM4.6 juta sebelumnya.
Segmen media luar rumah pula mencatatkan keuntungan selepas cukai RM14.9 juta, manakala segmen beli-belah dari rumah kembali mencatatkan keuntungan RM3.5 juta berbanding kerugian RM3.3 juta pada tahun kewangan 2025. - DagangNews.com





