NWE Resources dibuka 22 sen sesaham di Pasaran ACE

Business & Finance
21 Oct 2026 • 5:17 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: NWE Resources dibuka 22 sen sesaham di Pasaran ACE

KUALA LUMPUR: NWE Resources Group Bhd (NWE Resources) membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 22 sen sesaham, premium dua sen atau 10 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 20 sen.

Sebanyak 22.59 juta saham pembekal produk kemudahan hospitaliti, penjagaan diri dan makanan kesihatan itu diniagakan pada hari pertama penyenaraiannya.

Syarikat berjaya mengumpul hasil kasar RM28.6 juta menerusi IPO yang melibatkan penerbitan 143.15 juta saham baharu.

Pengarah Eksekutif NWE Resources, Tan Chor Han berkata, syarikat menjangkakan lanjutan kempen Tahun Melawat Malaysia hingga 2027 akan membantu meningkatkan permintaan terhadap produk kemudahan hotel dan resort.

“Jualan kepada sektor perhotelan menunjukkan peningkatan pada separuh kedua tahun ini selepas berdepan prestasi yang tidak menentu pada separuh pertama, susulan krisis yang menjejaskan pasaran.

“Usaha berterusan kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dijangka memberi manfaat kepada perniagaan pembekalan produk kemudahan hospitaliti syarikat,” katanya pada sidang media selepas penyenaraian tersebut di Bursa Malaysia di sini hari ini. 

Dalam pada itu, beliau berkata, NWE Resources juga merancang memperluas rangkaian produk makanan kesihatan dan penjagaan kulit bagi meningkatkan daya saing serta capaian pasaran.

Katanya, syarikat menyasarkan pembangunan sekurang-kurangnya 11 produk baharu dalam tempoh 24 bulan, merangkumi enam produk makanan kesihatan dan lima produk penjagaan kulit.

“Produk makanan kesihatan itu akan memberi tumpuan kepada kategori seperti bantuan tidur, pengurangan tekanan dan kesihatan jantung, manakala produk penjagaan kulit merangkumi serum, pelindung matahari dan pelembap. 

“NWE Resources turut merancang membuka pejabat jualan baharu di Johor bagi memperkukuh sokongan kepada rangkaian pengedarnya serta meningkatkan peluang jualan di wilayah selatan,” katanya. 

Menurut Chor Han, syarikat memperuntukkan RM9.1 juta daripada hasil IPO untuk pembangunan produk baharu, manakala RM1.2 juta lagi akan digunakan untuk memperluas keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Katanya, komitmen terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), syarikat sedang bekerjasama dengan pengusaha hotel untuk mengurangkan penggunaan plastik dalam pembekalan produk kemudahan hospitaliti.

“Antara pendekatan yang diambil termasuk menyediakan produk dalam botol bersaiz lebih besar serta menggunakan aksesori kayu sebagai alternatif kepada bahan plastik.

“Syarikat turut meneliti kaedah mengurangkan sisa pembungkusan bagi produk pengguna, khususnya ketika proses penghantaran,” katanya. 

Selain itu, beliau berkata, NWE Resources merancang melaksanakan inisiatif tenaga solar selepas penyenaraian bagi mengurangkan penggunaan tenaga dalam operasinya.

Katanya, pelaksanaan inisiatif ESG berpotensi meningkatkan keuntungan syarikat, namun impaknya belum dapat diukur secara khusus kerana bergantung pada corak penggunaan produk dan keperluan pelanggan.

“Sebagai sebahagian daripada perancangan tersebut, syarikat memperuntukkan RM900,000 daripada hasil IPO untuk pembelian sistem solar atas bumbung dan armada pengangkutan,” katanya. – UTUSAN

The post NWE Resources dibuka 22 sen sesaham di Pasaran ACE appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved