
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menafikan dakwaan tular mengenai beberapa bot yang cuba menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Rohingya melalui pesisir pantai Kuala Muda, Kuala Kedah, Yan dan Pulau Pinang.
Maritim Malaysia dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai penyebaran mesej berkenaan di media sosial dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya.
Menurut agensi itu, penyebaran maklumat tidak tepat bukan sahaja boleh mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan usaha pemantauan, risikan dan penguatkuasaan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, setiap maklumat berkaitan ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan perairan negara akan dinilai serta disahkan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil.
“Setiap maklumat yang diterima akan dinilai, disemak dan disahkan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil.
“Orang ramai diminta mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi serta tidak menyebarkan dakwaan yang belum dipastikan kesahihannya kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Baca juga:
Fahmi sifatkan tindakan lapan Ahli Kongres AS biadap
Semua masjid, surau di Terengganu diarah adakan solat hajat khas untuk Sultan Mizan
Isu warga Israel: Kongres AS tekan Washington kaji semula hubungan dengan Malaysia
Beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi menerusi rondaan berterusan, pemantauan berasaskan risikan serta kerjasama strategik bersama agensi keselamatan lain bagi membanteras sebarang cubaan pencerobohan atau kemasukan PATI melalui laluan laut.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang mengancam keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
“Setiap maklumat risikan akan disusuli dengan tindakan penguatkuasaan sewajarnya bagi memastikan sempadan maritim negara sentiasa terkawal, selamat dan terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, masyarakat pesisir pantai, komuniti nelayan serta pengguna laut diseru supaya terus memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di laut atau kawasan pesisir.
Maritim Malaysia turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap individu yang disyaki melakukan kesalahan, sebaliknya menyerahkan sebarang tindakan penguatkuasaan kepada pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa.
“Maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan hendaklah disalurkan segera melalui saluran rasmi Maritim Malaysia atau agensi keselamatan berkaitan bagi membolehkan tindakan pengesahan dan penguatkuasaan dilakukan dengan cepat, berkesan serta selamat,” katanya.
The post Maritim Malaysia nafi dakwaan bot bawa PATI Rohingya masuk melalui pesisir pantai appeared first on The Reporter.






