
Adakah Marc Marquez sedang angkuh apabila berkata dia masih mampu meninggalkan pelumba muda di belakang walaupun sudah berusia 33 tahun? Jika melihat dari prestasi dan rekodnya, kenyataan itu lebih dekat kepada fakta daripada keangkuhan.
Juara dunia sembilan kali itu mengakui tubuhnya bukan lagi seperti dahulu. Kecederaan serius yang dialami sejak kemalangan di Jerez pada 2020 terus meninggalkan kesan sehingga hari ini. Marc perlu lebih kerap mendapatkan rawatan fisioterapi untuk menjalani kehidupan normal dan turut terpaksa meninggalkan aktiviti seperti sukan padel (sukan gabungan elemen tenis dan skuasy) kerana keadaan lengan kanannya.
Namun, di atas motosikal, Marc masih menjadi antara penanda aras MotoGP. Dia masih mampu bertarung untuk podium dan kekal kompetitif walaupun mengakui setiap tahun kesakitan semakin meningkat.
Marc juga tidak menolak hakikat bahawa Pedro Acosta mempunyai bakat untuk mengetuai generasi baharu. Malah, beliau menyenaraikan nama seperti David Alonso, Brian Uriarte dan Maximo Quiles sebagai masa depan sukan ini. Tetapi buat masa ini, takhta belum boleh diserahkan.
“Pada usia 33 tahun, saya masih meninggalkan mereka di belakang,” katanya dengan penuh keyakinan.
Mungkin kedengaran seperti sombong. Tetapi dalam dunia perlumbaan, keyakinan tanpa bukti adalah keangkuhan. Sebaliknya, keyakinan yang disokong sembilan kejuaraan dunia, pengalaman dan prestasi semasa hanyalah fakta.
Persoalannya, sampai bila generasi muda MotoGP mampu terus dibayangi Marc Marquez?
Teruskan bersama Two Wheels..!
The post Marquez: Keangkuhan atau Fakta? Usia 33 Tahun Masih Tinggalkan Generasi Muda appeared first on TW Media.






