Masa depan ragbi wanita Selangor cerah

23 Aug 2026 • 9:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Masa depan ragbi wanita Selangor cerah

KLANG, 23 OGOS: Kejayaan mempertahankan pingat emas ragbi wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 disifatkan sebagai pencapaian cukup bermakna buat Selangor, selain menjadi petunjuk positif terhadap masa depan skuad berkenaan.

Pembantu jurulatih Selangor, Rozliana Ridwan berkata, kombinasi pemain berpengalaman daripada temasya terdahulu bersama barisan pemain muda berjaya membantu pasukan menampilkan aksi mantap untuk menewaskan Sarawak 41-0 pada aksi final di Stadium Sultan Suleiman, di sini.

Menurutnya, kejayaan di laman sendiri turut memberikan kepuasan berganda selepas skuad kendalian mereka berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi lalu.

“Syukur kerana kami berjaya pertahankan pingat emas ini dan lebih manis ia dilakukan di gelanggang sendiri, di hadapan penyokong sendiri.

“Skuad ini masih muda dan mereka boleh bermain dalam beberapa temasya lagi jadi saya lihat masa depan ragbi wanita Selangor sangat cerah,” katanya kepada Media Selangor.

Rozliana berkata, prestasi dipamerkan pemain sepanjang kejohanan membuktikan barisan muda yang dibentuk mempunyai potensi untuk terus berkembang dan menjadi tonggak pasukan pada masa akan datang.

Sementara itu, pemain Selangor, Nurul Fatin Hidayah menyifatkan kejayaan meraih emas kedua dalam penampilan terakhirnya di pentas SUKMA sebagai kenangan yang cukup istimewa.

“Perasaan yang sukar digambarkan apabila menang emas di negeri sendiri. Saya rasakan ini adalah kejayaan yang cukup sukar namun ia sangat berharga,” katanya.

Kejayaan mempertahankan emas itu turut disambut meriah penyokong Selangor yang hadir memenuhi Stadium Sultan Suleiman, malah sanggup berpanas demi memberikan sokongan kepada skuad negeri.

Kemenangan 41-0 ke atas Sarawak sekali gus menyaksikan Selangor mempertahankan kejuaraan ragbi wanita untuk dua edisi berturut-turut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved