Masjid jadi gelanggang satukan belia pelbagai kaum

LocalFootball
1 Aug 2026 • 11:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Masjid jadi gelanggang satukan belia pelbagai kaum
Zulkifli (dua dari kiri) bersama wakil penganjur dan tiga legenda bola sepak negara melakukan gimik peluncuran Kejohanan Bola Sepak Piala YB Menteri Agama di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail pada Jumaat.
Image from: Masjid jadi gelanggang satukan belia pelbagai kaum
Zulkifli (tiga dari kiri) semasa sidang media Peluncuran Kejohanan Bola Sepak Piala YB Menteri Agama di Masjid At-Takwa Taman Tun Dr Ismail pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - Institusi masjid terus diberi nafas baharu apabila bakal menjadi gelanggang penyatuan belia pelbagai kaum menerusi penganjuran kejohanan bola sepak yang dijadual berlangsung di TNB Integrated Learning Solution (ILSAS), Bangi pada 29 hingga 30 Ogos depan.

Lebih menarik, kejohanan bertemakan 'Aksi Bola Merdeka 2026' itu menggunakan format sembilan sebelah dengan menggalakkan setiap pasukan menyenaraikan sekurang-kurangnya dua pemain bukan Islam sebagai simbol keharmonian masyarakat majmuk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pendekatan itu selaras dengan matlamat program Semarak Masjid Bersama Belia yang mahu menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan komuniti, bukan sekadar tempat beribadah.

"Kita mahu menunjukkan masjid bukan hanya tempat memakmurkan ummah Islam, tetapi juga meraikan perbezaan dan menghormati masyarakat lain," katanya ketika Sidang Media Peluncuran Kejohanan Bola Sepak Piala YB Menteri Agama di Masjid At-Takwa Taman Tun Dr Ismail di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, format pertandingan turut menetapkan setiap pasukan dibarisi enam kakitangan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) serta tujuh pemain bawah 18 tahun bagi mengeratkan hubungan antara pegawai agama dan generasi muda.

Beliau berkata, semua kategori pemain itu perlu diturunkan dalam setiap perlawanan bagi memastikan objektif penyatuan dan pembangunan belia dapat direalisasikan.

**media[3601616]**

Zulkifli memberitahu, penganjuran itu bukan sekadar mencari juara, sebaliknya menjadi platform mendekatkan anak muda dengan institusi masjid melalui minat mereka terhadap bola sepak.

"Apabila mereka datang bermain bola, kita juga akan mengajak mereka menunaikan solat berjemaah dan menyertai program pembangunan sahsiah di masjid.

"Kita mahu mereka terus aktif bersukan, namun pada masa sama membina akhlak dan berada dalam persekitaran yang baik," katanya.

Setakat ini, katanya, tujuh negeri sudah mengesahkan penyertaan iaitu Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Terengganu, manakala penyertaan negeri lain masih dibuka.

Kejohanan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran legenda bola sepak negara, Abdul Malek Abdul Rahman, Mohammad Hardi Jaafar dan Indra Putra Mahayuddin.

Juara kejohanan itu bakal membawa pulang wang tunai RM3,000, piala pusingan, piala iringan dan pingat selain berpeluang mengadakan aksi persahabatan menentang pasukan Kelab Bola Sepak (MAIWP FC) di Stadium Merdeka.

Naib juara piala bakal menerima RM2,000 manakala tempat ketiga membawa pulang RM1,000 dengan masing-masing menerima pingat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved