Anak syarikat ENRA disaman RM22 juta, rancang tuntutan balas lebih tinggi

LocalBusiness & Finance
16 Nov 2026 • 5:47 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Anak syarikat ENRA disaman RM22 juta, rancang tuntutan balas lebih tinggi Image from: Anak syarikat ENRA disaman RM22 juta, rancang tuntutan balas lebih tinggi sarah16/11/2026 - 17:47 Gambar hiasan salah satu kapal milik ENRA Group Berhad Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Nov - Anak syarikat ENRA Group Bhd, Hexagon Energy Logistics Sdn Bhd (HEL), berdepan tuntutan mahkamah sebanyak AS$5.29 juta (RM22 juta) daripada SIP JDA Sdn Bhd berhubung pertikaian kontrak melibatkan kapal Hexagon Alpha yang kini berada di Batam, Indonesia.

 

Bagaimanapun, ENRA memaklumkan bahawa HEL mempertikaikan tuntutan tersebut dan merancang memfailkan tuntutan balas terhadap SIP, dengan nilai kerugian serta ganti rugi yang dianggarkan setanding atau mungkin lebih tinggi daripada jumlah dituntut SIP.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, HEL menerima writ saman bersama permohonan injunksi mandatori sementara pada 13 November 2026 yang difailkan SIP di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

 

SIP memohon perintah mahkamah supaya HEL mengambil semula jagaan dan penguasaan fizikal kapal Hexagon Alpha di kawasan labuh Batam dalam tempoh tujuh hari selepas perintah dikeluarkan.

 

Pertikaian penyerahan kapal

Selain tuntutan kewangan berjumlah AS$5.29 juta (RM22 juta) yang merangkumi tujuh tuntutan terdahulu berkaitan kontrak, SIP turut menuntut ganti rugi yang belum ditentukan nilainya susulan keberadaan kapal itu di Batam sejak 3 November 2026.

 

Bagaimanapun, HEL menolak penyerahan kapal tanpa syarat dalam keadaan semasa kerana berpendirian bahawa kapal berkenaan belum diserahkan semula mengikut keperluan kontrak. Syarikat itu akan mempertahankan kes berkenaan melalui firma guamannya, Azmi & Associates, selain meneruskan tuntutan balas terhadap SIP.

 

Kontrak asal bernilai RM136.56 juta

Sebagai latar belakang, ENRA sebelum ini memperoleh kontrak bernilai AS$32.09 juta (RM136.56 juta) daripada SIP pada Jun 2025 bagi menyediakan kemudahan kapal tangki simpanan untuk menyokong operasi minyak dan gas di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand. Kontrak itu melibatkan tempoh 12 bulan bermula 1 Oktober 2025 hingga 30 September 2026.

 

ENRA berkata, prosiding tersebut dijangka tidak memberi kesan material serta-merta kepada operasi kumpulan, namun implikasi kewangan sebenar masih belum dapat ditentukan kerana bergantung kepada keputusan mahkamah dan tuntutan kedua-dua pihak. Pengurusan kes pertama berlangsung pada 16 November 2026, manakala HEL mempunyai tempoh 14 hari untuk memberikan maklum balas terhadap tuntutan berkenaan.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved