Mata bengkak, biasa atau tanda penyakit?

Health & Fitness
13 Jan 2026 • 4:00 PM MYT
Public Health M'sia
Public Health M'sia

Public Health M'sia shares simple, relatable health education.

Image from: Mata bengkak, biasa atau tanda penyakit?
Gambar: Public Health M'sia

Seorang lelaki 31 tahun, sebelum ni sihat dan aktif, datang ke hospital dengan sesak nafas, sakit dada dan bengkak di muka, terutama sekeliling mata. Doktor perasan kelopak mata dia sembap, muka dan kaki pun penuh air. Selepas ujian darah, air kencing dan imbasan, rupanya dia menghidap sindrom nefrotik iaitu masalah buah pinggang yang teruk siap ada darah beku di salur darah buah pinggang. Dalam laporan kes ini, periorbital edema atau mata bengkak adalah antara tanda awal yang sebenarnya sudah lama muncul tetapi tidak diendahkan.

Ramai orang buat benda yang sama. Bila mata bengkak, kita salahkan kurang tidur, menangis, makan masin atau pakai skincare baru. Sedangkan untuk sesetengah orang, mata bengkak datang sekali dengan kaki bengkak, berat badan naik mendadak sebab air berkumpul dalam badan, air kencing berbuih atau tekanan darah makin tinggi. Dalam dunia perubatan, corak macam ini sangat klasik sebagai petanda awal penyakit buah pinggang yang menyebabkan badan hilang banyak protein lalu berlakunya bengkak di muka, mata dan kaki.

Bukan semua mata bengkak bermakna buah pinggang rosak. Ada yang ringan seperti kurang tidur, menangis lama, alergi habuk, kosmetik atau gigitan serangga. Tetapi bila mata bengkak berulang setiap pagi, makin teruk, datang sekali dengan bengkak kaki atau muka, mata merah dan sakit, penglihatan kabur, demam, atau berlaku hanya sebelah mata lepas kecederaan, itu bukan lagi isu kosmetik. Itu cara badan minta tolong untuk diperiksa sebelum jadi seteruk kes dalam jurnal yang doktor laporkan.

Infografik yang kami kongsikan hari ini ringkaskan punca mata bengkak yang biasa dan punca yang patut diberi perhatian. Simpan, baca semula dan kongsi dengan ahli keluarga yang selalu mata sembap. Satu perkongsian mungkin jadi sebab dia pergi periksa awal, sebelum buah pinggang, jantung atau mata sendiri terima akibat yang lebih berat.


Public Health M'sia (publichealthmalaysia@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.