Matang Berhad semak penggantungan CFO selewat-lewatnya 9 November susulan siasatan dalaman

LocalBusiness & Finance
29 Oct 2026 • 10:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Matang Berhad semak penggantungan CFO selewat-lewatnya 9 November susulan siasatan dalaman Image from: Matang Berhad semak penggantungan CFO selewat-lewatnya 9 November susulan siasatan dalaman johardy29/10/2026 - 10:00 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Okt - Matang Berhad akan menyemak penggantungan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) yang juga pemangku Ketua Pegawai Operasi (COO), Tan Theng Hwee selewat-lewatnya 9 November ini ketika syarikat menjalankan siasatan dalaman berhubung perkara berkaitan tadbir urus, operasi dan pentadbiran.

 

Lembaga pengarah menggantung tugas Tan dengan separuh gaji pada 26 Oktober selepas penilaian awal terhadap beberapa perkara yang dikenal pasti menerusi semakan tadbir urus dalaman dan pemantauan rutin pentadbiran, menurut syarikat dalam jawapan kepada pertanyaan Bursa Malaysia.

 

Matang berkata, penggantungan itu merupakan langkah pentadbiran sementara untuk melindungi rekod syarikat dan memastikan siasatan dijalankan secara berkecuali.

 

"Tiada dapatan buruk, kesimpulan mengenai liabiliti atau keputusan tatatertib dibuat terhadap Tan," jelas syarikat itu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Matang Berhad gantung tugas CFO sementara siasatan dalaman dijalankan

 

Siasatan itu dimulakan sepenuhnya atas inisiatif lembaga pengarah dan tidak berkaitan dengan sebarang siasatan, arahan atau pertanyaan daripada badan kawal selia atau agensi penguatkuasaan luar.

 

Langkah seterusnya melibatkan prosiding siasatan dalaman yang akan memperincikan isu berkenaan, diikuti pengeluaran surat rasmi serta peluang untuk pihak berkaitan memberikan maklum balas.

 

Matang berkata, pihaknya belum dapat memberikan butiran lanjut sehingga proses itu dilaksanakan.

 

Bekas kakitangan bantu kesinambungan operasi

Matang mendapatkan khidmat bekas kakitangannya, Hoi Siew Chien untuk membantu urusan operasi, kewangan, pentadbiran dan pelaporan sepanjang siasatan berlangsung.

 

Bagaimanapun, Hoi tidak dilantik secara rasmi untuk mengisi jawatan CFO atau COO. Pengetahuannya mengenai operasi dan sistem perakaunan Matang dijangka membantu memastikan kesinambungan perniagaan syarikat.

 

Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas, Datuk Adrian Lee Yin Chung pula ditugaskan untuk menyelia dan menyelaras fungsi eksekutif, operasi serta kewangan syarikat.

 

Menurut Matang, Lee merupakan ahli bersekutu Institut Percukaian Malaysia dan mempunyai pengalaman dalam bidang kewangan, pentadbiran, percukaian serta audit.

 

Syarikat berkata, pihaknya akan berusaha menyelesaikan siasatan itu secepat mungkin dan mengumumkan sebarang perkembangan penting. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved