
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) membawa 26 syarikat tempatan menyertai Misi Percepatan Eksport (EAM) ke Phnom Penh, Kemboja bagi meneroka peluang perniagaan dan memperkukuh kehadiran syarikat tempatan di pasaran berkenaan.
Misi dari 18 hingga 21 Ogos yang diketuai Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican itu membabitkan syarikat daripada sektor makanan dan minuman, barangan pengguna bergerak pantas (FMCG), alat ganti dan komponen automotif serta produk gaya hidup.
Menurut Matrade, misi berkenaan memberi peluang kepada pengeksport Malaysia bertemu pembeli, pengimport dan pengedar berpotensi, selain memahami dengan lebih dekat keadaan pasaran serta persekitaran perniagaan di Kemboja.
“Pada separuh pertama 2026, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kemboja meningkat sebanyak 51.1 peratus kepada RM3.32 bilion (AS$833.2 juta) berbanding RM2.20 bilion (AS$501.4 juta) yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2025.
“Eksport Malaysia ke Kemboja pula meningkat 40.9 peratus kepada RM2.45 bilion (AS$616.1 juta), didorong oleh eksport produk petroleum bernilai RM941.4 juta, barangan perkilangan berasaskan logam (RM453.1 juta), tekstil, pakaian dan kasut (RM237.2 juta), bahan kimia dan produk kimia (RM199.5 juta) serta makanan diproses (RM181.3 juta),” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Abu Bakar Yusof berkata, misi itu meneruskan momentum positif hasil penglibatan perdagangan yang dilaksanakan agensi berkenaan di pasaran Kemboja.
“Pada 2025, Matrade mengetuai misi disasarkan membabitkan sembilan syarikat Malaysia yang berjaya mengadakan 104 mesyuarat perniagaan dengan perniagaan (B2B) dan menjana jumlah jualan eksport RM41.3 juta, melepasi sasaran KPI awal RM34 juta.
“Berdasarkan momentum kukuh itu, saiz delegasi tahun ini hampir tiga kali ganda kepada 26 syarikat. Perkembangan ini mencerminkan minat yang semakin meningkat dalam kalangan syarikat Malaysia terhadap pasaran Kemboja serta usaha berterusan Matrade untuk menghubungkan mereka dengan peluang perniagaan baharu,” katanya.
Sepanjang misi empat hari itu, Matrade turut menganjurkan seminar perniagaan yang akan dirasmikan Menteri Perdagangan Kemboja.
Program berkenaan akan menampilkan wakil Kementerian Perdagangan Kemboja, Jabatan Kastam dan Eksais Am Kemboja serta Dewan Perniagaan Malaysia di Kemboja untuk berkongsi pandangan mengenai peraturan perdagangan, prosedur pelepasan kastam, trend pasaran dan peluang komersial di negara itu.
Selain itu, delegasi Malaysia akan mengadakan mesyuarat B2B yang diatur terlebih dahulu dengan pengimport, pengedar dan rakan perniagaan berpotensi dari Kemboja, selain lawatan ke hab komersial dan pengedaran utama di sekitar Phnom Penh. – UTUSAN
The post Matrade bawa 26 syarikat tempatan teroka pasaran Kemboja appeared first on Utusan Malaysia.






