Hong Kong jambatan syarikat Malaysia ke pasaran China

LocalBusiness & Finance
13 Aug 2026 • 7:11 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hong Kong jambatan syarikat Malaysia ke pasaran China

KUALA LUMPUR: Hong Kong terus memainkan peranan unik sebagai jambatan dua hala yang menghubungkan syarikat tempatan untuk meluaskan rangkaian perniagaan ke pasaran China.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin berkata, peranan itu didorong oleh kedudukan Hong Kong sebagai kota antarabangsa yang dilengkapi sistem perbankan bertaraf dunia, kerangka perundangan yang kukuh serta pasaran yang telus.

Beliau berkata, pemahaman mendalam Hong Kong terhadap pasaran China dari segi perkongsian bahasa, budaya dan rangkaian perniagaan yang luas menjadikannya sebagai batu loncatan terbaik untuk syarikat Malaysia.

“Jika sesebuah syarikat Malaysia berhasrat untuk menjual produk atau mengembangkan perkhidmatan mereka ke Kawasan Teluk Besar (Greater Bay Area) dan pasaran besar di China, bertapak di Hong Kong merupakan langkah pertama yang paling bijak.

“Sama seperti Hong Kong, Malaysia juga merupakan batu loncatan untuk pasaran Asia Tenggara. Jika perniagaan dari Tanah Besar China mahu berkembang ke rantau ASEAN yang mempunyai pasaran melebihi 680 juta orang, Malaysia ialah rakan kongsi ideal anda,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Seminar Perniagaan Hong Kong-Malaysia di sini semalam. 

Tze Tzin menambah, Malaysia menawarkan kelebihan tersendiri menerusi infrastruktur yang stabil, sokongan padu kerajaan, tenaga kerja mahir pelbagai bahasa serta akses strategik ke kesemua 10 buah negara ASEAN.

Justeru katanya, kerjasama erat yang terjalin antara China, Hong Kong dan Malaysia berupaya membentuk satu rantaian ekonomi yang lengkap untuk manfaat bersama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, kepentingan Hong Kong sebagai rakan pelaburan strategik terbukti apabila wilayah itu muncul sebagai sumber ketiga terbesar bagi pelaburan pembuatan yang diluluskan di Malaysia pada tahun lepas.

“Pada tahun 2025 sahaja, Hong Kong menjadi sumber ketiga terbesar bagi pelaburan pembuatan yang diluluskan di Malaysia dengan projek bernilai RM12.4 bilion (kira-kira AS$3.1 bilion).

“Hong Kong membawa masuk modal, kepakaran kewangan, perkhidmatan profesional, rangkaian antarabangsa serta akses ke China dan Kawasan Teluk Besar. Malaysia pula menyediakan platform operasi, bakat, keupayaan industri, rantaian bekalan dan akses ke ASEAN,” katanya.

Tambahnya, gabungan kekuatan kedua-dua pihak ini mampu membuka dan mewujudkan peluang ekonomi yang lebih besar, yang mana tidak mungkin dapat dicapai secara efektif sekiranya bergerak secara bersendirian. –UTUSAN

The post Hong Kong jambatan syarikat Malaysia ke pasaran China appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved