Bapa sempat pangku anak kena panah petir

12 Oct 2026 • 10:44 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bapa sempat pangku anak kena panah petir

PASIR MAS – Bapa kepada seorang remaja yang maut dipanah petir ketika dalam perjalanan pulang selepas memancing bersama tiga rakan dan sepupunya di Kampung Tasek Berangan di sini petang tadi sempat memangku mangsa di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa, Muhammad Ziad Zikri Abdul Hadi, 14, meninggal dunia di lokasi kejadian ketika dalam keadaan hujan lebat.

Abdul Hadi Abdul Ghani, 60, berkata, dia memangku anak bongsunya itu sejurus tiba di lokasi kejadian sebelum membawanya ke Hospital Pasir Mas.

“Saya tidak sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah kerana Muhammad Ziad sudah meninggal dunia. Arwah seorang anak yang rajin dan tidak menunjukkan perubahan perangai sejak kebelakangan ini.

“Cuma, saya sempat berpesan kepadanya supaya rajin mengaji al-Quran semalam,” katanya ketika ditemui pemberita di sini sebentar tadi.

Abdul Hadi memberitahu, dia reda dengan pemergian anak bongsu daripada lima beradik itu.

Sementara itu, sepupu mangsa, Mohd. Haziq Qoyyum Rosli, 12, berkata, ketika kejadian, dia bersama arwah dan dua lagi rakan mereka dalam perjalanan dari bendang tempat memancing menuju ke lokasi motosikal dipakir untuk pulang ke rumah.

Katanya, arwah pada mulanya enggan pulang kerana masih mahu memancing, namun akhirnya akur selepas dua kali diajak pulang berikutan hujan semakin lebat.

“Kami hampir sampai di tempat parkir motosikal sebelum tiba-tiba kilat menyambar arwah yang ketika itu membawa pancingnya.

“Saya bersama dua lagi rakan yang berada di belakang arwah turut rebah sebaik sahaja kilat menyambar. Saya sempat melihat tubuh arwah mengeluarkan asap,” katanya.

Mohd. Haziq memberitahu, dia kemudian bangun dalam keadaan terpinga-pinga sebelum pulang ke rumah untuk meminta pertolongan selepas melihat arwah terbaring kaku di tanah.

“Saya sangka dia pengsan. Apabila ahli keluarga lain tiba di tempat kejadian, arwah rupanya sudah meninggal dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Bapa sempat pangku anak kena panah petir appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved