Mayat Ahli Perniagaan Dibalut Dengan Jaring: 2 Suspek Utama Pembunuhan Direman 6 Hari

5 Aug 2026 • 2:29 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Mayat Ahli Perniagaan Dibalut Dengan Jaring: 2 Suspek Utama Pembunuhan Direman 6 Hari

KUALA LUMPUR - Dua lelaki dipercayai terbabit dalam pembunuhan seorang ahli perniagaan direman enam hari oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat bagi membantu siasatan.

Mayat mangsa ditemui dibalut dan diikat menggunakan jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja.

Perintah reman terhadap suspek masing-masing berusia 33 dan 34 tahun itu dikeluarkan Majistret Mustaqim Sukarno bermula hari ini hingga Isnin depan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kedua-dua suspek ditahan dalam serbuan berasingan di Kluang dan Johor Bahru semalam, tidak lama selepas mayat mangsa ditemukan.

“Reman diperoleh bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Terdahulu, kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat kira-kira jam 8 pagi tadi bagi permohonan reman berhubung kematian ahli perniagaan berusia 39 tahun itu.

Pada Isnin lalu, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan satu mayat lelaki di Sungai Tanjung Sembrong kira-kira jam 12.30 tengah hari. 

Mayat berkenaan ditemui dalam keadaan dibalut serta diikat menggunakan jaring.

Siasatan kemudian membawa kepada laporan polis yang dibuat seorang wanita pada jam 10.09 malam, 29 Julai lalu, berhubung kehilangan suaminya di Mutiara Rini, Iskandar Puteri.

Identiti mangsa disahkan oleh ahli keluarganya berdasarkan pakaian serta barangan peribadi yang ditemui bersama mayat.

Pemeriksaan awal turut menemui beberapa kesan kecederaan pada bahagian pinggang dan lengan mangsa yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan tersebut.

Menurut Shahrulanuar, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif kejadian, namun polis tidak menolak kemungkinan pembunuhan itu berpunca daripada masalah hutang. - Getaran, 5 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved