Polis tahan dua lagi suspek, bantu siasatan penemuan mayat dibalut jaring dalam sungai

5 Aug 2026 • 2:47 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Polis tahan dua lagi suspek, bantu siasatan penemuan mayat dibalut jaring dalam sungai

JOHOR BAHRU: Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki yang mayatnya ditemukan dalam keadaan diikat tangan serta kaki serta dibalut jaring sebelum tubuhnya dicampak ke Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja, Batu Pahat, Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Polis Hoo Chuan Huat berkata, dua suspek berusia 33 dan 34 tahun itu ditahan di sekitar Kluang dan Johor Bahru hasil siasatan susulan yang dijalankan polis.

Katanya, kedua-dua suspek direman selama enam hari sehingga 10 Ogos ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini, seramai lima individu telah ditahan. Tiga suspek yang ditahan sebelum ini telah direman selama tujuh hari sehingga 10 Ogos, manakala dua lagi suspek yang ditahan semalam turut direman sehingga tarikh yang sama.

“Siasatan masih diteruskan dan kita masih mengesan sekiranya terdapat lagi individu lain terbabit. Saya tidak boleh kata tiada lagi suspek yang masih bebas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Tambah Chuan Huat, siasatan awal mendapati motif pembunuhan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan masalah hutang, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti peranan setiap suspek.

“Setakat ini kita percaya salah seorang suspek mempunyai hutang dengan mangsa, manakala individu lain dipercayai merupakan rakan,” katanya.

Akhbar semalam melaporkan penemuan mayat lelaki dalam keadaan diikat tangan serta kaki serta dibalut jaring dalam sebuah sungai, dipercayai merupakan individu yang dilaporkan hilang di Iskandar Puteri pada 29 Julai lalu.-UTUSAN

The post Polis tahan dua lagi suspek, bantu siasatan penemuan mayat dibalut jaring dalam sungai appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved