
KUALA LUMPUR – Mayat bayi perempuan dianggarkan berusia tujuh bulan ditemukan di dalam sebuah tong sampah di kawasan pembuangan sampah di Bangsar, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan itu pada pukul 10.43 pagi tadi.
“Mayat bayi berkenaan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan siasatan masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, Kosmo! Online melaporkan tindakan tidak bertanggungjawab membuang bayi yang dipercayai berlaku di sebuah apartmen di Abdullah Hukum, di sini mengundang pelbagai reaksi sedih dan kemarahan orang ramai di media sosial.
Rata-rata orang ramai meluahkan rasa simpati terhadap nasib bayi berkenaan, malah ada yang mempersoalkan tindakan individu terbabit sedangkan masih ramai pasangan mengharapkan kehadiran cahaya mata. – KOSMO! ONLINE
The post Mayat bayi perempuan ditemukan dalam tong sampah appeared first on Kosmo Online.






