Mayat bayi tanpa kepala, satu tangan ditemukan dalam longkang belakang rumah

16 Oct 2026 • 10:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mayat bayi tanpa kepala, satu tangan ditemukan dalam longkang belakang rumah
Keadaan mayat bayi yang tidak sempurna sifat ketika ditemukan dalam longkang di Kawasan Perumahan Padang Setengge, Hulu Terengganu pada Jumaat. Gambar: - FOTO: Ihsan pembaca

​HULU TERENGGANU – Penemuan mayat bayi dalam keadaan mencurigakan di dalam longkang di Kawasan Perumahan Padang Setengge di sini pada Jumaat menggemparkan penduduk setempat.

​Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu menerima panggilan daripada seorang lelaki jam 6.52 petang yang memaklumkan mengenai penemuan tersebut.

​Menurutnya, mayat bayi berkenaan dijumpai oleh seorang wanita ketika sedang membasuh pakaian di belakang rumahnya.

​"Siasatan mendapati pengadu sedang membasuh pakaian telah menjumpai bayi di dalam longkang di belakang rumah sebelum memaklumkan perkara itu kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Perumahan Padang Setengge.

​"Bayi berkenaan ketika dijumpai hanya terdapat satu bahagian tangan dan dua belah bahagian kaki, manakala jantina serta warganegara mangsa masih belum dapat dipastikan," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

​Mengulas lanjut, Sharudin berkata, kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit.

​Beliau menambah, pihak polis telah memohon bantuan Unit Forensik D10 dan K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu bagi menjalankan siasatan serta mengumpulkan keterangan di tempat kejadian.

​"Selain itu, pihak Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah telah dimaklumkan untuk proses bedah siasat ke atas mayat bayi tersebut.

"Motif kejadian masih dalam siasatan. Setakat ini belum ada tangkapan dibuat berhubung kes ini," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved