Mayat bilal masjid ditemukan lemas 2.2km dari lokasi hilang

3 Jun 2026 • 3:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mayat bilal masjid ditemukan lemas 2.2km dari lokasi hilang
Mayat Samsul Azmi ditemukan pada jam 9.35 pagi di Sungai Pahang berhampiran Kampung Loyang, kira-kira 2.2 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang. Foto Bomba Pahang.

TEMERLOH - Mayat seorang bilal masjid yang dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika berenang menyeberangi Sungai Pahang di Kampung Peragap ditemukan lemas pada pagi Rabu.

Mayat mangsa, Samsul Azmi Ishury, 41, ditemukan pada jam 9.35 pagi di Sungai Pahang berhampiran Kampung Loyang, kira-kira 2.2 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, mayat mangsa ditemukan pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas operasi disambung semula pada jam 7.43 pagi.

“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bersama Unit Pengesan K9 menjalankan pencarian di sekitar lokasi kejadian sebelum mangsa ditemukan pada jam 9.35 pagi.

"Mayat mangsa kemudian dibawa naik ke darat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, operasi SAR membabitkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh, lima anggota PPDA BBP Bukit Angin serta empat anggota Unit K9 bersama seekor anjing pengesan.

Turut membantu ialah lapan anggota polis, 12 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta 37 penduduk kampung dengan menggunakan 17 bot.

Terdahulu, mangsa yang juga bilal sebuah masjid di Kampung Lipat Kajang dilaporkan hilang selepas dipercayai berenang menyeberangi Sungai Pahang sebelum dihanyutkan arus.

Kehilangan mangsa disedari selepas motosikal dan barangan peribadinya ditemukan di tebing sungai, manakala saksi memaklumkan melihat mangsa berenang di kawasan berkenaan sebelum kejadian.