Mayat Disimen Dalam Tong Ditemui, Polis Lancar Siasatan Kes Bunuh

13 Sep 2026 • 7:28 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Mayat Disimen Dalam Tong Ditemui, Polis Lancar Siasatan Kes Bunuh

ALOR GAJAH - Polis membuka siasatan kes bunuh selepas sebuah tong berwarna biru dipercayai mengandungi mayat manusia ditemukan di cerun berhampiran Kolam Takungan Air Machap, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, tong berkenaan ditemukan tiga individu berusia antara 25 hingga 35 tahun yang sedang memancing di kawasan kolam berkenaan kira-kira jam 11.40 pagi.

Menurutnya, kumpulan itu berasa curiga selepas menemukan tong terbabit sebelum memotong sebahagian bahagian atas, dan menjumpai tulang yang telah disimen.

“Kumpulan pemancing itu kemudian membuat laporan polis dan pasukan kami tiba di lokasi kira-kira tengah hari,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Ahmad berkata, siasatan awal mendapati mayat berkenaan telah mengalami pereputan dan dipercayai berada di lokasi tersebut lebih dari tiga minggu.

Susulan penemuan itu, polis mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka bagi mengeluarkan tong berkenaan yang berada di kawasan cerun di tepi jalan.

“Mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi menentukan jantina serta identiti mangsa.

“Saya meminta mana-mana individu yang mempunyai ahli keluarga yang hilang supaya tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Ahmad berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Getaran, 13 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved