Mayat ditemui dalam parit dipercayai mangsa bunuh

1 Sep 2026 • 8:11 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mayat ditemui dalam parit dipercayai mangsa bunuh
Polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat berkenaan. Foto hiasan

SUNGAI BULOH - Mayat seorang lelaki ditemukan dalam parit di Kampung Baru Sungai Buloh di sini pada Sabtu, disyaki dibunuh.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat berkenaan.

"Bertindak atas maklumat tersebut, polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum mayat dikeluarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Mayat berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh. Hasil bedah siasat mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Hafiz berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada simati dan identitinya masih belum dikenal pasti.

"Mangsa berkulit cerah, tidak mempunyai rambut, berketinggian kira-kira 170 sentimeter dan berat sekitar 50 kilogram," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti lelaki itu serta mengesan suspek yang terlibat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau mempunyai ahli keluarga yang dilaporkan hilang dan mempunyai ciri-ciri menyerupai mangsa diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Mohd Reezal Mohammad @ Mohd Zain di talian 013-3479809.

"Maklumat juga boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hafiz menasihatkan masyarakat supaya tidak menularkan sebarang imej, video atau maklumat tidak sahih di mana-mana platform media sosial.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved