
TEMERLOH: Minat membuat kek yang pada awalnya sekadar menjadi kegemaran akhirnya mendorong Nur Atiqah Sofiya Mohd. Kazwan, 32, meninggalkan pekerjaan dalam bidang industri sebelum membuka perniagaan kafe sendiri kira-kira dua tahun lalu.
Namun, impian pemilik Secangkir Cafe di Sungai Karang itu terhenti selepas dia maut bersama suami dan anak lelaki mereka dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) arah timur, dekat Lanchang, Temerloh, malam tadi.
Abangnya, Mohd. Hafiz Rifqi, 33, berkata, adiknya sememangnya mempunyai minat mendalam dalam pembuatan kek sebelum mengambil keputusan menceburi bidang perniagaan.
“Dia memang minat buat kek. Itu passion dia. Sebelum buka kafe, dia bekerja di Lynas di Gebeng, kemudian berhenti dan memilih untuk berniaga.
Kafe itu baru lebih kurang dua tahun dibuka dan Alhamdulillah, semakin dikenali,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini hari ini.
Menurut Mohd. Hafiz Rifqi, keluarganya hanya mengetahui tentang kejadian yang menimpa Nur Atiqah Sofiya kira-kira pukul 7.45 pagi tadi selepas seorang rakan menghantar berita mengenai kemalangan itu kepadanya.
Katanya, berita berkenaan amat mengejutkan kerana keluarga tidak mengetahui adiknya sudah dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 di Putrajaya.
“Memang terkejut sebab kejadian berlaku kira-kira pukul 11 malam, tetapi kami hanya tahu pukul 7.45 pagi. Itu pun selepas kawan forward berita kepada saya. Kami memang tahu dia pergi ke Putrajaya pada 31 Ogos untuk tengok perarakan kerana suaminya orang Kuala Lumpur. Dia ada berkongsi gambar dan keadaan di sana dalam kumpulan WhatsApp keluarga, jadi kami tahu dia berada di sana.
“Tetapi kami tidak tahu bila dia balik dan sama ada sudah selamat sampai atau belum. Jadi apabila mendapat tahu berita itu, memang sangat terkejut dan terkilan,” katanya.
Mengimbau perwatakan adiknya, Mohd. Hafiz Rifqi menyifatkan Nur Atiqah Sofiya seorang yang baik dan dikenali ramai, khususnya dalam kalangan komuniti fotografi dan perniagaan.
Katanya, selain mengusahakan kafe, arwah turut aktif sebagai jurugambar dan mempunyai ramai kenalan sehingga berita mengenai kematiannya mendapat perhatian ramai di media sosial.
“Adik saya baik. Dia memang agak dikenali sebagai fotografer di Kuantan dan sekarang ini ramai kenalan dia berkongsi mengenai arwah di media sosial. Dia juga ada kafe kek. Memang ramai kenalan dia dan sebahagiannya merupakan kenalan saya juga,” katanya. – UTUSAN
The post Nahas 11 kenderaan: Arwah minat buat kek sebelum buka kafe appeared first on Utusan Malaysia.






