
SHAH ALAM, 17 SEPT: Mayat seorang lelaki dipercayai seorang daripada tiga pemancing yang hilang di perairan One Fathom Bank berhampiran Pulau Ketam ditemukan di perairan Perak, semalam.
Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata mayat itu ditemukan selepas sektor pencarian diperluas ke perairan Selangor ekoran bimbang mangsa dihanyutkan arus lebih jauh.
“Mayat itu ditemukan pada hari ketiga (semalam) operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) dan dibawa dari Maritim Negeri Perak untuk diserahkan kepada pihak polis bagi proses pengecaman dan pengesahan identiti oleh waris.
“Sementara itu Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) diaktifkan semula pada jam 7.00 pagi tadi (semalam) bagi mempergiatkan operasi yang melibatkan aset laut dan udara Maritim Malaysia, polis,
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya di Facebook hari ini.
Muhaimin berkata, Maritim Perak turut menggerakkan aset Kapal Maritim Nusa bagi memperluas kawasan pencarian ke perairan negeri terbabit selain sektor pencarian laut kini meliputi kawasan seluas 203.85 batu nautika persegi di sempadan perairan Selangor dan Perak.
“Untuk sektor udara, pencarian meliputi kawasan seluas 408 batu nautika persegi di sekitar One Fathom Bank. Maritim Malaysia akan terus menyelaras operasi bersama agensi bagi memastikan usaha CARILAMAT dilaksanakan secara pantas, tersusun dan berkesan,” katanya.
Pada Isnin lepas, APMM Selangor melancarkan SAR selepas menerima laporan berhubung kehilangan tujuh pemancing di One Fathom Bank pada 3.35 pagi.
Empat daripada mereka ditemukan selamat di perairan Sekinchan pada hari kedua operasi itu sebelum mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Hospital Banting bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Polis kemudian mengesahkan penemuan mayat Mohd Shahril Abd Rahman, 43, di perairan Hutan Melintang manakala dua lagi yang masih hilang ialah Muhamad Ridzuan Ruhaizat, 37, dan Raja Mohd Rozi Raja Mohamad, 49.






