
SHAH ALAM, 9 OKT: Remaja lelaki berusia 18 tahun ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan di muka dan kepala dalam semak berhampiran Jalan Harvard di Gurun, Sungai Petani, dipercayai menjadi mangsa bunuh.
Mayat lelaki itu ditemukan orang awam kira-kira jam 8 pagi dalam keadaan lengkap berpakaian sukan berwarna hitam dan kuning.
Ibunya berkata beliau terkejut apabila anggota polis datang ke rumahnya di Guar Chempedak menunjukkan gambar mayat seorang lelaki bagi tujuan pengecaman.
Menurutnya, beliau pada mulanya menyangka kehadiran polis adalah untuk menahan anak sulungnya itu yang terputus hubungan dengan keluarga sejak keluar dari rumah bulan lalu.
“Saya tak tahu anak saya itu tinggal di mana. Saya pernah cuba menghubunginya atau menghantar kiriman WhatsApp namun tiada jawapan.
“Kami cuba mencarinya namun tidak jumpa sehinggalah polis datang memaklumkan perkara itu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), lapor Berita Harian.
Beliau berkata hubungan mereka sekeluarga dengan Allahyarham tidak mempunyai sebarang masalah, malah anaknya yang pernah bekerja di kedai roti canai di Guar Chempedak itu gemar bergurau dengan adik-adiknya.
Beliau turut mendedahkan suaminya pernah menerima mesej WhatsApp daripada individu yang dipercayai kenalan anaknya meminta wang sebanyak RM200, namun tujuan permintaan itu tidak diketahui.
“Kalau betul anak saya dibunuh, saya harap tindakan setimpal dikenakan terhadap pelakunya,” katanya.
Jenazah dibawa keluar dari Jabatan Forensik HSB sekitar jam 5.45 petang selepas selesai bedah siasat dan dikebumikan selepas solat Isyak di Tanah Perkuburan Islam Guar Chempedak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan memaklumkan Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah akan mengadakan sidang media berhubung kejadian itu Ahad ini.






