
SUNGAI PETANI – Seramai 14 individu ditahan reman bagi membantu siasatan kes pembunuhan remaja lelaki yang mayatnya dijumpai di tepi semak di Gurun, dekat sini semalam.
Kesemua suspek lelaki yang berusia 16 hingga 24 tahun itu ditahan di sekitar Gurun sejak semalam dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini untuk proses permohonan reman.
Majistret Noor Fazlina Musa membenarkan 12 suspek direman selama enam hari, manakala dua suspek yang masih di bawah umur direman lima hari.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan mayat Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam, 19, ditemukan orang awam di tepi semak berhampiran Jalan Harvard Golf Club dengan kesan kecederaan pada muka dan kepala pada pukul 8 pagi semalam.
Ibu mangsa, Azura Zor, 41, meluahkan rasa sedih dengan penemuan mayat anak sulung daripada empat beradik itu selepas remaja tersebut gagal dihubungi sejak bulan lalu.
Azura mahu kes pembunuhan anaknya disiasat dengan pelaku ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal. – KOSMO! ONLINE
The post 14 lelaki direman kes penemuan mayat Haikal di tepi semak appeared first on Kosmo Online.






