
KOTA TINGGI: Mayat terakhir daripada empat mangsa yang lemas di Pantai Tanjung Lompat, di sini Rabu lalu ditemukan orang awam pada pukul 3.05 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintenden Mohd. Syamsuri Mohamad berkata, mayat tersebut telah disahkan ahli keluarga sebagai Mohamad Haiman Fitri Supian, 16.
“Mayat mangsa telah ditemukan oranh awam pada pukul 3.05 petang di batuan pesisir Pantai Tanjung Siang, di sini iaitu kira-kira 12 kilometer dari lokasi kejadian.
“Ahli keluarga juga telah mengesahkan identiti mangsa pada pukul 4.30 petang,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Rabu lalu, enam remaja dikhuatiri lemas ketika sedang mandi bersama sebelum dua daripadanya berjaya diselamatkan, manakala empat yang lain hilang dibawa arus.
Mayat pertama yang ditemukan Rabu lalu dikenal pasti sebagai Alif Taqiuddin Kamal Hasrul, 16, manakala mayat kedua iaitu Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor, 16, pula ditemukan kelmarin, sementara mayat ketiga, Muhammad Adib Hafiy Kamal, 16, pula ditemukan semalam.-UTUSAN
The post Mayat terakhir empat sekawan lemas di Pantai Tg. Lompat ditemukan pukul 3.05 petang appeared first on Utusan Malaysia.






