Penghuni pusat jagaan maut dipercayai dibunuh rakan

10 Nov 2026 • 6:24 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Penghuni pusat jagaan maut dipercayai dibunuh rakan

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki ditemukan mati dipercayai dibunuh di sebuah pusat penjagaan dan rawatan pesakit mental di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian menimpa penghuni berumur 42 tahun itu daripada
seorang pekerja di pusat berkenaan pada pukul 7.02 malam tadi.

“Sepasukan pegawai dihantar ke lokasi pusat berkenaan dan mendapati seorang lelaki tidak sedarkan diri sebelum ketibaan kakitangan Kementerian Kesihatan yang mengesahkan kematian lelaki berkenaan.

“Pihak kita turut menemui tiga tompokan darah dan pemeriksaan terhadap mangsa mendapati terdapat kesan luka yang tidak ketara di kepala dan dada,” katanya.

Menurut Hanyan, semakan kamera litar tertutup (CCTV) kemudiannya mendapati terdapat seorang penghuni lelaki yang telah menampar mangsa sebelum menghayunkannya ke
dinding kerana dikatakan enggan naik ke tingkat atas selepas kelas agama tamat.

“Susulan itu pihak kita menahan seorang penghuni pusat itu yang berumur 51 tahun juga merupakan rakan mangsa untuk membantu siasatan.

“Semakan rekod mendapati suspek yang juga mempunyai penyakit mental mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan jenayah dan enam rekod membabitkan dadah,” katanya.

Katanya, mayat mangsa yang berasal daripada Kelantan itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar malam tadi dan keputusan bedah siasat mendapati mangsa mati kerana kecederaan akibat hentakan kuat oleh objek tumpul pada bahagian dada.

“Suspek yang beralamat di Tasek Gelugor, Pulau Pinang ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

 

The post Penghuni pusat jagaan maut dipercayai dibunuh rakan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved