Maybank kini hadir dengan sebuah ciri baharu, dinamakan sebagai Money Lock. Melaluinya, Maybank memberikan penumpuan kepada sokongan keselamatan dana pengguna, dimana pengguna boleh mengunci dana mereka melalui ciri Money Lock ini, sekaligus menghalang diakses secara atas-talian.
Maybank mengatakan dengan adanya lapisan keselamatan ini, pelanggan boleh menggunakan perkhidmatan perbankan tanpa perlu risau dengan keselamatan kewangan mereka. Menggunakannya juga, pengguna boleh memilih jumlah wang yang ingin dikunci supaya tidak boelh diakses – bermula dari serendah RM10. Sebaik sahaja dikunci, dana berkenaan tidak boleh digunakan untuk transaksi pemindahan atas-talian, pengeluaran ATM, penggunaan kad debit, pembayaran bil, penempatan deposit tetap, dan lain-lain.

Pengenalan ciri ini menjadikan Maybank yang pertama menawarkan ciri seumpamanya, sekaligus meningkatkan keselamatan dan keyakinan pelanggan terhadap perkhidmatan perbankan Maybank. Pengguna Maybank sedia ada boleh mengakses ciri ini dengan ke aplikasi MAE, pilih Accounts, dan tekan pada ikon “Money Lock”.
Untuk membuka kembali dana di Money Lock, pengguna perlu melakukan proses pengesahan di mana-mana ATM atau cawangan Maybank seluruh negara.

