Sebelum ini Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim telah didakwa mendatangani surat cara proklamasi pada 3 Ogos lalu berkaitan Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Dalam satu kenyataan media, Datuk Maarof Mat Arshad (Undang yang dipertikaikan) turut menunjukkan surat cara proklamasi yang tertera tandatangan Ismail Lasim yang menyentuh keputusan Undang Yang Empat mengenai penurunan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 19 April yang lalu, lapor Kosmo.
Menteri Besar Negeri Sembilan dakwa dipaksa tandatangan Surat Cara Proklamasi
Terbaharu Ismail Lasim tampil mendakwa beliau telah dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi tersebut tanpa rela hati.
Laporan polis dibuat untuk siasatan dilakukan
“Merujuk kepada isu dokumen Surat Cara Proklamasi (“Surat Cara tersebut”) yang tular dalam kenyataan media pada malam 8 September 2026, saya ingin menjelaskan bahawa Surat Cara tersebut telah saya tandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan (duress).
“Saya telah membuat laporan polis pada sekitar jam 6 petang pada 8 September 2026 bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa,” jelasnya.
Kata beliau, Kerajaan Negeri juga berpendirian bahawa Surat Cara itu adalah tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Oleh itu, ia adalah tidak sah, tidak berpelembagaan serta tidak boleh dikuatkuasakan.
Bincang tubuh Jawatankuasa Pendamai untuk cari penyelesaian isu adat
“Seterusnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan Bil. 5 Tahun 2026 yang bersidang pada 8 September 2026 juga antara lain membincangkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Pendamai sebagai wadah untuk mencari penyelesaian isu adat secara harmoni, berhemah dan berlandaskan semangat muafakat.
“Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri turut merujuk kepada Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Persekutuan menjamin hak dan kedudukan Raja di sisi Perlembagaan serta perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kemuliaan dan kedudukan DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus terpelihara.”
Ismail Lasim turut menzahirkan sokongan penuhnya dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat.






