Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim digesa menjelaskan perkara sebenar berhubung dakwaannya bahawa beliau dipaksa menandatangani surat cara proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Perkara tidak boleh di pandang ringan
Menerusi hantaran di Facebook Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, perkembangan terbaharu itu tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan institusi beraja dan kestabilan institusi negara.
“Ismail wajar mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku. Pihak berkuasa juga mesti menyiasat dakwaan ini.
“Isu ini sudah melangkaui Negeri Sembilan. Perkembangan ini melibatkan soal kelangsungan dan keselamatan institusi-institusi negara serta Raja-Raja Melayu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Surat cara proklamasi ditandatangani tanpa rela
Terdahulu, Ismail dilaporkan memaklumkan bahawa surat cara proklamasi berkenaan ditandatangani tanpa kerelaannya dan dalam keadaan paksaan (duress).
Syahredzan yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP turut mempersoalkan pihak yang didakwa terlibat dalam memaksa penandatanganan dokumen tersebut seperti dilaporkan oleh media antarabangsa.
“Siapa yang memaksa Menteri Besar untuk menandatangani dokumen pemecatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan?
“Adakah benar terdapat individu dalam UMNO yang terlibat dalam episod ini, sedangkan pada masa sama mengiktiraf baginda sebagai pemerintah yang sah?” katanya.

Sebelum ini, kemelut melibatkan institusi diraja di Negeri Sembilan dijangka menjadi semakin rumit apabila Undang Yang Empat, termasuk seorang Undang yang statusnya dipertikaikan, mengemukakan dokumen yang didakwa sebagai proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz.
Dokumen tersebut didakwa telah ditandatangani oleh Menteri Besar Negeri Sembilan dan menjadi antara perkara yang mencetuskan polemik berhubung kedudukan institusi pemerintahan negeri itu.
Sumber: Facebook Syahredzan Johan






