MB Negeri Sembilan dakwa dipaksa tandatangan dokumen proklamasi

LocalPolitics
9 Sep 2026 • 1:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MB Negeri Sembilan dakwa dipaksa tandatangan dokumen proklamasi
Ismail

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mendakwa beliau dipaksa menandatangani surat cara proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Beliau berkata, laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa.

Menurutnya, surat cara proklamasi berkenaan ditandatangani tanpa kerelaannya dan dalam keadaan paksaan (duress).

"Merujuk kepada isu dokumen Surat Cara Proklamasi yang tular dalam kenyataan media pada malam 8 September 2026, saya ingin menjelaskan bahawa surat cara tersebut telah saya tandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan (duress).

"Saya telah membuat laporan polis sekitar jam 6 petang pada 8 September bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ismail berkata, kerajaan negeri berpendirian bahawa surat cara tersebut adalah tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Sehubungan itu, beliau menegaskan dokumen berkenaan adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan.

"Seterusnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan Bilangan 5 Tahun 2026 yang bersidang pada 8 September juga antara lain membincangkan penubuhan sebuah jawatankuasa pendamai sebagai wadah untuk mencari penyelesaian isu adat secara harmoni, berhemah dan berlandaskan semangat muafakat.

"Dalam masa yang sama, kerajaan negeri turut merujuk kepada Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Persekutuan menjamin hak dan kedudukan Raja di sisi Perlembagaan serta perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kemuliaan dan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus terpelihara," katanya.

Ismail sekali lagi turut menzahirkan sokongan penuh serta taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Muhriz sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan krisis istana di Negeri Sembilan dijangka lebih meruncing apabila Undang Yang Empat termasuk Undang yang dipertikai menunjukkan dokumen didakwa proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang dikatakan telah ditandatangani oleh Ismail.

Dokumen tersebut dikongsi kepada pemberita dalam sidang media di Galeri Diraja Tuanku Jaafar di sini pada malam Selasa.

Sidang media yang bermula sekitar jam 10.45 malam itu dihadiri oleh Datuk Maarof Mat Rashad, Abdul Rahim Yassin dan Undang Luak Johol, Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Datuk Muhammed Abdullah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved