Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mendakwa bahawa beliau telah menandatangani Surat Cara Proklamasi tanpa rela hati dan secara paksaan (duress).
Surat Cara tersebut telah menjadi tular pada Selasa.
Beliau juga telah membuat laporan polis sekitar jam 6 petang pada hari sama bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.
MB Negeri Sembilan dakwa dipaksa tandatangan Surat Cara Proklamasi
"Kerajaan Negeri berpendirian bahawa Surat Cara tersebut adalah tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
"Oleh itu, ia adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Baca juga:
Kerajaan Negeri Sembilan Jalinkan Kerjasama Dengan Uni Enrol Bagi Program Biasiswa Aspirasi Negeri Sembilan 2026
ADUN BN, UMNO Negeri Sembilan Kekal Sokong Kerajaan Negeri Demi Kestabilan
Menurutnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan Bil.5 Tahun 2026 yang bersidang pada Selasa juga antara lain membincangkan penubuhan sebuah jawatankuasa pendamai sebagai wadah untuk mencari penyelesaian isu adat secara harmoni, berhemah dan berlandaskan semangat muafakat.
"Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri turut merujuk kepada Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Persekutuan menjamin hak dan kedudukan Raja di sisi Perlembagaan serta perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kemuliaan dan kedudukan DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus terpelihara," ujarnya.
Ismail turut menzahirkan sokongan penuh serta taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada DYMM Tuanku Muhriz sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat.






