
KUALA PILAH – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim akan memangku tiga portfolio utama dalam barisan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kerajaan Negeri yang baharu.
Ismail berkata, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan yang baharu itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, pagi ini.
Menurutnya, beliau memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam dan Keselamatan; Kewangan, Tanah dan Sumber Asli; serta Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti, Komunikasi dan Felda.
“Yang kedua Datuk Mohd. Faizal Ramli yang akan mengetuai portfolio Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah. Yang ketiga, Datuk Zaifulbahri Idris diberi tanggungjawab sebagai Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan.
“Yang keempat, Datuk Mustapha Nagoor pula memegang portfolio Pembangunan Belia dan Sukan. Kelima, Siow Kong Choon mengetuai portfolio Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Hal Ehwal Bukan Islam,” katanya pada sidang akhbar selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli MMKN Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, hari ini.
Menurut beliau, bagi portfolio lain, Siti Nur Umaira Hasim dilantik sebagai Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Mohd. Asna Amin sebagai Exco Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital serta Datuk Mohd. Razi Mohd. Ali sebagai Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup.
“Suhaimizan Bizar pula akan mengetuai portfolio Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan badan bukan kerajaan (NGO) Mohd. Fairuz Mohd. Isa sebagai Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, manakala Datuk Razali Abu Samah memegang portfolio Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan,” katanya.
Menurutnya, pembahagian Exco berkenaan menyaksikan dua wakil Perikatan Nasional (PN) menjadi Exco, manakala selebihnya adalah wakil rakyat BN.
Secara pecahan, UMNO mempunyai 16 kerusi DUN, MCA (dua), Pas (empat) dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) (tiga).
Sebelum ini, ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan telah menawarkan diri untuk tidak dilantik sebarang jawatan dalam kerajaan negeri bagi memberi peluang kepada muka-muka baharu dan segar dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Exco muka lama yang dikekalkan ialah Mohd. Faizal sebelum ini memegang portfolio Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, manakala, Mustapha kekal memegang portfolio yang sama.- KOSMO! ONLINE
The post MB pangku tiga portfolio utama Exco Negeri Sembilan appeared first on Kosmo Digital.






