KANGAR – Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah mengesahkan beliau melepaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran negeri menjelang penghujung penggal kerajaan.
Beliau bagaimanapun menegaskan keputusan itu tidak menjejaskan kedudukannya dalam parti kerana masih kekal sebagai ahli Bersatu selain terus memegang jawatan Ketua Bahagian dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perlis.
“Saya telah meletakkan jawatan sebagai Ahli MPT Bersatu namun masih kekal sebagai ahli parti.
“Tidak timbul isu peletakan jawatan ini dikaitkan dengan jawatan Menteri Besar kerana saya hanya mahu memberikan komitmen sepenuhnya kepada pentadbiran negeri,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Abu Bakar, tanggungjawab sebagai Menteri Besar ketika ini memerlukan perhatian yang lebih menyeluruh, lebih-lebih lagi apabila hanya berbaki kira-kira setahun sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis menamatkan penggal semasanya.
Beliau berkata, surat peletakan jawatan sebagai Ahli MPT Bersatu telah dikemukakan kepada ibu pejabat parti pada minggu lalu selepas keputusan itu dipersetujui bersama kepimpinan parti.
“Keputusan itu dibuat secara baik hasil perbincangan bersama kepimpinan tanpa sebarang tekanan atau perselisihan,” katanya.
Mengulas dakwaan peletakan jawatan itu berkait dengan kemelut politik negeri, Abu Bakar menafikan perkara tersebut dan menegaskan pentadbiran kerajaan Perlis kekal stabil.
Katanya, kerajaan negeri akan terus menjalankan tanggungjawab seperti biasa selaras dengan titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail supaya pentadbiran diteruskan sehingga tamat penggal DUN.
Dalam masa sama, beliau turut menolak spekulasi kononnya bakal meninggalkan Bersatu untuk menyertai parti lain.
Menurutnya, dakwaan berkenaan tidak berasas dan beliau kekal bersama Bersatu walaupun tidak lagi menganggotai MPT parti.






