
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memohon maaf secara terbuka susulan tindakan petugas pengiringnya yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengguna jalan raya seperti yang tular dalam media sosial.
Amirudin menerusi hantaran di aplikasi Threads berkata, beliau meneliti rakaman video tersebut dan kesal dengan perbuatan petugas terbabit kerana tidak mencerminkan tatakelakuan sewajarnya.
“Berhubung isu video tular ini, setelah semakan dilakukan, secara peribadi saya memohon maaf atas perlakuan tersebut.
“Teguran telah dibuat ke atas petugas tersebut oleh pentadbiran saya bagi mengelak daripada berulang lagi pada masa hadapan. Sekali lagi saya mohon maaf,” katanya.
Terdahulu, tular hantaran seorang pengguna Threads yang mendakwa dimaki hamun oleh petugas pengiring kenderaan rasmi Menteri Besar Selangor ketika berlaku kesesakan berhampiran sebuah plaza tol pada waktu puncak.
Menurut pengguna itu, petugas berkenaan didakwa menurunkan cermin tingkap kenderaan utiliti sukan jenis Proton X70 sebelum sebelum menjerkah dan mengeluarkan kata-kata kesat kerana tidak memberi laluan kepada konvoi berkenaan.
Hantaran itu turut mempersoalkan sikap petugas pengiring sehingga mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dengan rata-rata mereka menggesa tindakan sewajarnya harus diambil bagi memastikan insiden sama tidak berulang. – KOSMO! ONLINE
The post MB Selangor mohon maaf isu pengiring maki pengguna jalan raya appeared first on Kosmo Digital.

![MB Selangor Mohon Maaf Selepas Tular Pegawai Pengiring Maki Pengguna Jalan Raya Di Plaza Tol [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/MB-Selangor-mohon-maaf-isu-pegawai-pengiring-maki-pengguna-jalan-raya-di-plaza-tol.jpg?t=1785831148)




