MB: SUKMA platform lahir atlet ke pentas antarabangsa

24 Aug 2026 • 11:55 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MB: SUKMA platform lahir atlet ke pentas antarabangsa

SHAH ALAM, 24 OGOS: Sukan Malaysia (SUKMA) bukan sekadar medan memburu pingat, sebaliknya menjadi platform penting mencungkil bakat yang berpotensi mewakili negara di pentas antarabangsa.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata temasya itu memainkan peranan dalam pembangunan atlet untuk melangkah ke kejohanan lebih berprestij termasuk Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Paralimpik.

Menurutnya, pencapaian pada SUKMA bukan penentu mutlak kejayaan seseorang atlet pada masa hadapan kerana mereka masih mempunyai ruang untuk terus meningkatkan prestasi.

“Ini kerana SUKMA merupakan pentas untuk kita melahirkan atlet yang mampu mewakili negara di pentas antarabangsa seperti Olimpik, Sukan Asia dan Paralimpik.

“Setiap individu mempunyai ruang untuk meningkatkan lagi prestasi dan melihat peluang serta ruang untuk beraksi di pentas antarabangsa kelak,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup SUKMA 2026 di Aneka Walk di sini, malam ini.

Image from: MB: SUKMA platform lahir atlet ke pentas antarabangsa
Antara atlet yang hadir pada Majlis Penutup Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Aneka Walk, Shah Alam pada 24 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR 

Amirudin turut mengingatkan atlet yang belum berjaya meraih pingat supaya tidak menganggap kekalahan pada temasya kali ini sebagai pengakhiran perjalanan mereka dalam sukan.

Katanya, pengorbanan masa, tenaga dan keselesaan sepanjang menjalani latihan perlu diteruskan dengan usaha lebih gigih bagi mencapai impian masing-masing.

“Kekalahan bukan pengakhiran. Itulah hikmah di sebalik setiap penyertaan atlet yang selaras dengan perjalanan kehidupan.

“Apabila seseorang itu jatuh dan kalah sekali, tidak bermakna orang itu jatuh dan kalah setiap kali dalam hidup,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan atlet yang meraih kejayaan supaya tidak terlalu selesa kerana pencapaian pada satu temasya tidak menjamin kemenangan dalam kejohanan akan datang.

SUKMA 2026 melabuhkan tirai malam ini dengan Selangor muncul juara keseluruhan selepas menguasai saingan di laman sendiri.

Kontinjen Merah Kuning menamatkan temasya dengan 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa bagi keseluruhan 245 pingat, jauh melepasi sasaran awal 80 emas.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved