Impian sukarelawan ke pentas antarabangsa tertangguh, Masturina kembali menerusi SUKMA

24 Aug 2026 • 8:03 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Impian sukarelawan ke pentas antarabangsa tertangguh, Masturina kembali menerusi SUKMA

SHAH ALAM, 24 OGOS: Peluang menjadi sukarelawan di Olimpik Tokyo dan Piala Dunia pernah berada dalam genggaman Masturina Ahmad Zabidi selepas berjaya melepasi temu duga.

Namun, pandemik Covid-19 memadam peluang itu dan memaksa impiannya untuk merasai pengalaman di pentas sukan antarabangsa tertangguh.

Beberapa tahun berlalu, wanita berusia 29 tahun itu masih tidak meninggalkan minatnya. Kali ini, beliau datang dari Ipoh ke Shah Alam untuk mencurahkan tenaga sebagai sukarelawan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

Bagi anak bongsu daripada enam beradik itu, setiap temasya membawa pengalaman tersendiri dan menjadi ruang untuk terus belajar sambil menyumbang kepada sesuatu yang bermanfaat.

“Saya sebenarnya ada keinginan untuk berada di pentas antarabangsa, jadi saya daftarkan diri dan lulus temu duga untuk Olimpik Tokyo dan Piala Dunia, tetapi disebabkan Covid-19, impian itu tertangguh seketika,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Minat Masturina terhadap kerja sukarelawan dalam temasya sukan bermula lebih awal apabila beliau pernah terlibat dalam Sukan SEA 2017 dan SUKMA Perak 2018.

Walaupun sudah mempunyai pengalaman, keterujaan itu tidak pernah hilang kerana baginya setiap penganjuran menawarkan suasana, tugasan dan pembelajaran berbeza.

“Saya tetap rasa teruja dan gembira untuk menyertai kerana setiap pengalaman itu pastinya bernilai dan berbeza,” katanya.

SUKMA Selangor 2026 turut membuka sisi baharu buat Masturina apabila beliau dipilih bertugas bersama pasukan media rasmi temasya.

Jika sebelum ini tugasannya lebih tertumpu di venue dan di sebalik tabir, kali ini beliau berpeluang mempelajari proses liputan serta operasi media sepanjang temasya berlangsung.

“Bila dipilih untuk bertugas di Media Selangor, tugasan saya berbeza kerana sebelum ini saya bertugas di venue dan lebih kepada di sebalik tabir.

“Jadi, pengalaman kali ini memang berbeza daripada sebelum ini dan saya dapat belajar perkara baharu,” katanya.

Demi memberikan komitmen, Masturina turut mengosongkan jadual kerjanya sebelum datang ke Shah Alam.

Jarak dari Ipoh serta kos yang perlu ditanggung tidak dianggap penghalang kerana peluang menjadi sebahagian daripada temasya besar seperti SUKMA tidak datang selalu.

“Bagi saya, kos dan perjalanan bukan satu masalah. Saya rasa lebih baik saya salurkan masa, tenaga dan apa yang saya ada kepada sesuatu yang bermanfaat.

“Peluang seperti ini bukan datang banyak kali, jadi pengalaman ini saya perlu gunakan sebaik-baiknya,” katanya.

Bagi Masturina, SUKMA kali ini bukan sekadar satu lagi catatan dalam pengalaman sebagai sukarelawan.

Ia juga menjadi langkah untuk terus mendekatkan dirinya kepada impian yang pernah tertangguh suatu hari nanti menyumbang tenaga di pentas sukan antarabangsa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved