MB Tiada Kuasa Unilateral Kosongkan Jawatan Yang di-Pertuan Besar - Ismail Lasim

LocalPolitics
15 Sep 2026 • 7:28 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

MB Tiada Kuasa Unilateral Kosongkan Jawatan Yang di-Pertuan Besar - Ismail Lasim

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.

Menerusi satu kenyataan media, Ismail berkata kedudukan dan proses yang berkaitan dengan Yang di-Pertuan Besar adalah perkara yang diperuntukkan secara khusus oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Penjelasan itu dibuat susulan pelbagai pandangan yang dikemukakan berhubung Surat Cara Proklamasi yang didakwa mempunyai kesan terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang bersidang pada hari ini menegaskan bahawa perkara ini hendaklah dilihat berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS 1959) dan prinsip Raja Berperlembagaan, bukan sebagai persoalan politik atau peribadi," katanya.

Image from: MB Tiada Kuasa Unilateral Kosongkan Jawatan Yang di-Pertuan Besar - Ismail Lasim

Menurutnya, sesuatu Proklamasi tidak dengan sendirinya mewujudkan kuasa perlembagaan.

"Persoalan yang perlu ditentukan ialah apakah sumber kuasa bagi Proklamasi tersebut, apakah syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh, dan sama ada kesemua syarat tersebut telah dipatuhi.

"Dalam konteks Perkara 10 UUTKNS 1959, peruntukan perlembagaan menetapkan kerangka khusus berhubung tindakan terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar, termasuk keperluan yang berkaitan dengan proses dan Proklamasi," ujarnya.

Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa penglibatan Menteri Besar dalam proses yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh tidak bermaksud Menteri Besar mempunyai kuasa untuk menentukan sendiri kedudukan Yang di-Pertuan Besar.

Sebaliknya, apabila Perlembagaan menetapkan peranan atau tindakan tertentu kepada Menteri Besar, peranan tersebut hendaklah dilaksanakan dalam batas dan menurut kehendak UUTKNS 1959.

Selain itu, isu ini bukan mengenai siapa mempunyai kuasa politik yang lebih besar.

Baca juga:

"Dalam sistem Raja Berperlembagaan, kuasa mesti bersumberkan Perlembagaan dan undang-undang. Institusi Diraja, Undang, Menteri Besar dan Kerajaan Negeri masing-masing mempunyai kedudukan serta fungsi yang ditentukan oleh Undang-Undang Tubuh.

"Isu utama ialah kesahan dan kesan undang-undang Proklamasi tersebut," katanya lagi.

Menurut kenyataan itu, antara perkara yang perlu ditentukan ialah sumber kuasa perlembagaan bagi Proklamasi tersebut, syarat serta prosedur yang ditetapkan UUTKNS 1959 dan sama ada kesemua syarat berkenaan telah dipatuhi sehingga Proklamasi itu mempunyai kesan undang-undang seperti yang didakwa.

Katanya, perkara tersebut perlu diselesaikan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, termasuk melalui penentuan kehakiman sekiranya timbul pertikaian undang-undang.

"Menteri Besar menghormati sepenuhnya Institusi Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

"Apa yang perlu dipertahankan ialah bukan kepentingan mana-mana individu, tetapi keluhuran Perlembagaan, kepastian undang-undang dan kesinambungan institusi Raja Berperlembagaan.

"Undang-Undang Tubuh mesti menjadi asas. Proses perlembagaan mesti dihormati. Institusi mesti dipelihara," jelasnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved