Keupayaan Kumpulan MBI Selangor dan kerjasama strategik digembleng sempena kepulangan SUKMA ke Selangor selepas 28 tahun
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) akan menerajui penganjuran Majlis Perasmian SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 pada 15 Ogos 2026, menandakan kepulangan temasya sukan kebangsaan itu ke Selangor selepas 28 tahun.
Majlis berprestij yang akan berlangsung di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam ini bukan sekadar membuka tirai temasya sukan terbesar negara, malah menjadi simbol kecemerlangan sukan, perpaduan rakyat dan semangat juang atlet muda Malaysia.
Sebagai peneraju penganjuran, MBI Selangor akan menggembleng keupayaan, kepakaran, sumber dan rangkaian strategik Kumpulan MBI Selangor dengan penyelarasan bersama Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Sekretariat SUKMA XXII Selangor 2026, agensi Kerajaan Negeri serta rakan strategik bagi memastikan Majlis Perasmian dilaksanakan secara bersepadu, cekap dan berimpak tinggi.
Penganjuran ini dilaksanakan menerusi pendekatan kolaboratif yang memanfaatkan keupayaan sedia ada, kerjasama strategik serta penyertaan sektor korporat. Pendekatan ini bukan sahaja bertujuan menghasilkan sebuah Majlis Perasmian yang bermakna dan berprestij, malah memastikan setiap sumber diurus secara berhemah, telus serta memberikan nilai terbaik kepada Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, YBhg. Dato’ Ts. Saipolyazan M Yusop berkata, penganjuran Majlis Perasmian SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 merupakan satu penghormatan besar kepada Selangor untuk sekali lagi menjadi tuan rumah temasya sukan kebangsaan selepas hampir tiga dekad.
“Kembalinya SUKMA ke Selangor selepas 28 tahun merupakan detik yang cukup bermakna buat negeri ini. MBI Selangor berbesar hati diberikan kepercayaan untuk menerajui Majlis Perasmian yang meraikan kecemerlangan, semangat dan pengorbanan para atlet.
“Melalui kerjasama erat bersama pelbagai pihak, kami berharap penganjuran ini bukan sahaja menjadi pengalaman yang membanggakan buat seluruh rakyat Malaysia, malah meninggalkan legasi yang berkekalan kepada pembangunan sukan, belia dan Negeri Selangor,” katanya.
Mengangkat tema “Di Sinilah Lahirnya Juara”, Majlis Perasmian SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 akan meraikan perjalanan seorang juara — daripada impian dan pengorbanan kepada disiplin, ketabahan serta keberanian yang membentuk mereka sehingga berjaya mengharumkan nama negeri dan negara.
Kisah ini akan dipersembahkan menerusi gabungan seni, budaya, muzik, teknologi dan penceritaan visual yang mengangkat semangat kesukanan serta kebanggaan rakyat Malaysia.
Antara pengisian utama yang dijangka mewarnai Majlis Perasmian ialah perarakan kontinjen negeri, istiadat rasmi pembukaan, persembahan kreatif berskala besar, larian terakhir obor SUKMA serta upacara penyalaan kawah SUKMA. Keseluruhan pengisian ini akan mencerminkan warisan, kepelbagaian budaya serta aspirasi Selangor sebagai sebuah negeri progresif yang terus memacu kecemerlangan.
Melangkaui malam perasmian, penganjuran ini turut menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta, menggalakkan penyertaan sektor korporat dalam pembangunan sukan dan belia, memperluas penglibatan komuniti serta mengukuhkan keupayaan Selangor dalam menganjurkan acara bertaraf nasional.
Penganjuran Majlis Perasmian SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 diterajui oleh MBI Selangor sebagai penganjur, dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sebagai Rakan Penaja Utama.
Penganjuran ini turut mendapat sokongan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Worldwide Holdings Berhad, KDEB Waste Management Sdn. Bhd., Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (Aquasel), dan Bisabi Sdn. Bhd. sebagai Rakan Penaja Platinum.
Turut menyokong penganjuran ini ialah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Telekom Malaysia Berhad, dan Maxis Broadband Sdn. Bhd. sebagai Rakan Teknologi – Sumbangan In-Kind; Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) bersama Central Spectrum (M) Sdn. Bhd. (CSSB), dan SmartSel Sdn. Bhd. sebagai Rakan Penaja Gangsa; serta Awan Biru Technology Berhad (AWANTEC), Darul Ehsan Facilities Management Sdn. Bhd. (DEFM), Rantaian Mesra Sdn. Bhd. (RMSB), SIDEC Sdn. Bhd. dan Urbancubes Sdn. Bhd. sebagai Rakan Komuniti. Platform Selangor (PLATS), Media Selangor Sdn. Bhd., Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Tourism Selangor Sdn. Bhd. pula menyumbang sebagai Rakan Komuniti – Sumbangan In-Kind melalui sumbangan dalam bentuk barangan dan perkhidmatan (in-kind).
Kerjasama erat ini mencerminkan komitmen bersama Kumpulan MBI Selangor serta rakan korporat dan strategik dalam menjayakan penganjuran SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026, sekali gus memperkasa pembangunan sukan dan belia negara.
Orang ramai dijemput hadir bagi menyaksikan detik bersejarah kepulangan SUKMA ke Selangor selepas 28 tahun menerusi Majlis Perasmian SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 pada 15 Ogos 2026, bermula pukul 7.30 malam di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam.
Orang ramai juga berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik bersempena Majlis Perasmian, termasuk jualan makanan dan minuman daripada foodtruck yang akan berlangsung pada 14 Ogos 2026 (Jumaat), dari jam 3.00 petang hingga 12.00 tengah malam, dan pada 15 Ogos 2026 (Sabtu), dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah malam. Pengunjung turut berpeluang mendapatkan kupon bernilai RM10 untuk pembelian di foodtruck, terhad kepada 500 pengunjung terawal, selain mengunjungi reruai dan menikmati pelbagai aktivasi daripada rakan-rakan penaja serta menyertai cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik. Pengisian ini diadakan bagi memeriahkan suasana sambutan serta memberi peluang kepada pengunjung untuk bersama-sama menikmati kemeriahan SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026.
Maklumat lanjut mengenai atur cara, akses orang ramai serta pelaksanaan acara akan diumumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi MBI Selangor dan laman sesawang rasmi SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026.






