MBI Selangor terajui penganjuran Majlis Perasmian SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor pada 15 Ogos 2026

12 Aug 2026 • 2:16 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MBI Selangor terajui penganjuran Majlis Perasmian SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor pada 15 Ogos 2026 Image from: MBI Selangor terajui penganjuran Majlis Perasmian SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor pada 15 Ogos 2026 johardy12/08/2026 - 14:16 Gambar BERNAMA Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

SHAH ALAM 12 Ogos - Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor akan menerajui Majlis Perasmian SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 pada 15 Ogos ini, menandakan kepulangan temasya sukan kebangsaan itu ke negeri berkenaan selepas 28 tahun.

 

Majlis yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam itu akan dianjurkan dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Sekretariat SUKMA XXII Selangor 2026, agensi kerajaan negeri serta rakan strategik dan sektor korporat.

 

MBI Selangor berkata pendekatan kolaboratif itu akan memanfaatkan kepakaran, sumber dan rangkaian strategik Kumpulan MBI Selangor bagi memastikan penganjuran dilaksanakan secara cekap, bersepadu dan berimpak tinggi, selain memastikan sumber diurus secara berhemah dan telus.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Dato’ Ts. Saipolyazan M Yusop berkata, penganjuran majlis perasmian itu merupakan penghormatan besar kepada Selangor selepas hampir tiga dekad tidak menjadi tuan rumah temasya berkenaan.

 

“Kembalinya SUKMA ke Selangor selepas 28 tahun merupakan detik yang cukup bermakna buat negeri ini. MBI Selangor berbesar hati diberikan kepercayaan untuk menerajui Majlis Perasmian yang meraikan kecemerlangan, semangat dan pengorbanan para atlet.

 

“Melalui kerjasama erat bersama pelbagai pihak, kami berharap penganjuran ini bukan sahaja menjadi pengalaman yang membanggakan buat seluruh rakyat Malaysia, malah meninggalkan legasi yang berkekalan kepada pembangunan sukan, belia dan Negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


 

Xi

 


Di Sinilah Lahirnya Juara

Bertemakan “Di Sinilah Lahirnya Juara”, majlis perasmian itu akan mengetengahkan perjalanan seorang juara daripada impian dan pengorbanan kepada disiplin, ketabahan serta keberanian menerusi gabungan seni, budaya, muzik, teknologi dan penceritaan visual.

 

Antara acara utama ialah perarakan kontinjen negeri, istiadat rasmi pembukaan, persembahan kreatif berskala besar, larian terakhir obor SUKMA dan upacara penyalaan kawah SUKMA, dengan keseluruhan persembahan mengetengahkan warisan serta kepelbagaian budaya Selangor.

 

Menurut MBI Selangor, penganjuran temasya itu turut menjadi platform memperkukuh kerjasama sektor awam dan swasta, meningkatkan penyertaan korporat dalam pembangunan sukan dan belia serta mengukuhkan keupayaan Selangor menganjurkan acara bertaraf nasional.

 

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bertindak sebagai Rakan Penaja Utama, manakala Air Selangor, Worldwide Holdings Bhd., KDEB Waste Management Sdn. Bhd., Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (Aquasel) dan Bisabi Sdn. Bhd. menjadi Rakan Penaja Platinum. Penganjuran itu turut disokong beberapa syarikat dan agensi sebagai rakan teknologi, penaja gangsa serta rakan komuniti.

 

Majlis perasmian bermula pukul 7.30 malam pada 15 Ogos, manakala aktiviti sampingan termasuk jualan makanan dan minuman menerusi trak makanan akan diadakan pada 14 dan 15 Ogos.

 

Sebanyak 500 pengunjung terawal turut berpeluang mendapatkan kupon RM10 untuk pembelian di trak makanan, selain mengunjungi reruai penaja dan menyertai cabutan bertuah.

 

Maklumat lanjut mengenai atur cara, akses orang ramai dan pelaksanaan acara akan diumumkan menerusi saluran rasmi MBI Selangor serta laman sesawang rasmi SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026. - DagangNews.com

Sukan Terkini standard Image from: MBI Selangor terajui penganjuran Majlis Perasmian SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor pada 15 Ogos 2026 Image from: MBI Selangor terajui penganjuran Majlis Perasmian SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor pada 15 Ogos 2026
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved