PKPS teroka teknologi moden China, perkukuh sektor agromakanan

9 Aug 2026 • 6:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PKPS teroka teknologi moden China, perkukuh sektor agromakanan

SHAH ALAM, 9 OGOS: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) meneroka peluang kerjasama strategik dalam sektor agromakanan menerusi lawatan delegasinya ke China baru-baru ini.

Delegasi diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi yang meninjau kemudahan China Modern Dairy Holdings Limited serta mempelajari penerapan teknologi moden dalam industri penternakan.

Lawatan yang dihoskan Pengarah Eksekutif China Modern Dairy Zhu Xiaohui itu turut menyaksikan kedua-dua pihak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama.

Menerusi hantaran di Facebook, PKPS memaklumkan lawatan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan agensi itu dalam memastikan sekuriti makanan selain membangunkan industri pertanian yang lebih mampan.

“Melihat sendiri penerapan teknologi moden dalam sektor pertanian dan penternakan amat mengujakan. Ini merupakan pengalaman yang sangat menarik dan memberi inspirasi,” menurut hantaran itu.

Pada masa sama, Dr Mohamad Khairil menerusi satu video merakamkan penghargaan kepada China Modern Dairy atas jemputan serta layanan mesra sepanjang lawatan berkenaan.

“Kerjasama ini bukan sekadar melibatkan pemindahan teknologi dan membuka ruang perkongsian pengalaman, malah berpotensi mewujudkan ekosistem pertanian yang lebih mampan serta menyumbang kepada pembangunan sektor agromakanan di Selangor dan Malaysia,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas usaha merealisasikan kerjasama strategik antara PKPS dan China Modern Dairy.

Usaha PKPS itu turut menerima reaksi positif warganet yang mengucapkan tahniah kepada agensi berkenaan kerana meneroka peluang kerjasama di China, sekali gus membantu membawa sektor agromakanan Selangor ke tahap lebih tinggi.

PKPS turut memberi maklum balas bahawa pihaknya akan terus memperkukuh kerjasama bagi mewujudkan lebih banyak peluang untuk pembangunan ekonomi Selangor dan kesejahteraan rakyat, khususnya dalam usaha memastikan sekuriti makanan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved